LOGO Tigernews

LOGO Tigernews
TIGERNEWS NEWS in THE WORLD

Welcome

SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG TIGERNEWS
PASTIKAN ANDA BERPUAS HATI DENGAN BLOG INI
TIGERNEWS NEWS in THE WORLD SISIPAN BERITA ONLINE
Showing posts with label Berita Semenanjung Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Berita Semenanjung Malaysia. Show all posts

Monday, July 4, 2011

Berita Harian Online

Subsidi benih, baja kekal: TPM
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Shamsul Kamal Amarudin dan Nurhayati Ablah
bhnews@bharian.com.my
2011/07/03

MUHYIDDIN diiringi Zambry pada perasmian Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan di Taiping, semalam.
MUHYIDDIN diiringi Zambry pada perasmian Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan di Taiping, semalam.
Muhyiddin jamin pesawah, petani dapat manfaat selagi BN memerintah

BAGAN SERAI: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan subsidi padi terutama benih dan baja akan terus disalurkan kepada pesawah seluruh negara selagi Barisan Nasional (BN) memerintah.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ia berikutan kepentingan tanaman padi dalam mengekalkan Dasar Makanan Negara yang menetapkan 70 peratus daripada beras digunakan rakyat tempatan adalah keluaran dalam negara dan hanya 30 peratus diimport.
“Selagi BN diberi kuasa dan mandat untuk memajukan serta memberi kesejahteraan rakyat, subsidi padi akan diberikan selama-lamanya.

“Proses rasionalisasi subsidi hanya dilakukan terhadap barangan lain kerana kita mahu memastikan subsidi itu hanya disalurkan kepada golongan yang tepat,” katanya pada majlis Kenduri Rakyat di Alor Pongsu, di sini, sempena Program Turun Padang beliau ke Perak, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, mengakui isu kenaikan harga barangan sering dibangkitkan oleh rakyat setiap kali beliau mengadakan program turun padang.

Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM250,000 untuk baik pulih Masjid Alor Pongsu diikuti pengumuman RM1 juta kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan beberapa isu yang timbul di kawasan Bagan Serai manakala RM150,000 untuk membina gelanggang futsal di Parit Haji Kassim.
Pada sebelah pagi, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan Dasar 1Murid 1Sukan serta melepaskan dan menyertai bersama Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia bertempat di Padang Esplande di Taiping.

Seramai 4.1 juta pelajar atau lebih tepat 4,137,126 pelajar daripada 9,980 sekolah menengah dan sekolah rendah seluruh negara menyertai larian serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan pagi semalam.

Acara berkenaan yang mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian pelajar sekolah serentak terbesar itu dilancarkan.

Sebaik larian berkenaan tamat kira-kira jam 8.30 pagi, wakil MBR, Diana Paul, menyerahkan sijil pengiktirafan rekod acara berkenaan kepada Muhyiddin untuk diserahkan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin di Taman Kaya, Muhyiddin memberi amaran terhadap kemungkinan kuasa asing mengambil kesempatan mencampuri urusan negara ini, jika keadaan di dalamnya bergolak
dan huru-hara akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab termasuk pembangkang mengadakan perhimpunan haram.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak terjebak dengan perbuatan mungkar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan konco-konconya termasuk yang menggunakan nama NGO untuk menimbulkan suasana buruk dalam negara melalui perhim-punan BERSIH, bagi mencerminkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan proses pilihan raya negara yang begitu buruk dan tidak telus.

Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan masing-masing sebanyak RM200,000 bagi pembinaan surau dan tokong di Taman Kaya dan RM100,000 kepada masyarakat India di situ. Beliau juga mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi menaik taraf Pasar Awam Taman Kaya dan RM2.5 juta untuk pembinaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Taman Kaya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abd Rahman meluangkan masa menyaksikan Konsert Festival Muzik Kuala Lumpur (FMKL 2011) bertema Kembara Muzik: Klasik Kontemporari di Istana Budaya di sini, malam tadi.

Friday, July 1, 2011

Berita Harian Online

Rakaman Berita Harian Online

Tajuk: SPR jawab tuntutan BERSIH
Sumber: Warta Nasional Tigernews

Wednesday, June 29, 2011

Berita Harian Online

Taman Tasik Perdana lebih ceria
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my
2011/06/29

  •  
  • Foto
KUALA LUMPUR: Taman Tasik Perdana yang sebelum ini sepi, lesu dan pudar kehijauannya kini berubah wajah selepas mengalami proses transformasi dan penjenamaan semula dan dikenali sebagai Taman Botani Perdana.
Berkeluasan 101 hektar di tengah bandar raya dan dikelilingi tempat menarik seperti Tugu Negara, Planetarium Negara, Taman Rama-Rama, Memorial Tun Razak dan Carcosa Seri Negara, Taman Botani Perdana kini lebih segar, ceria dan hijau selepas mengalami proses penjenamaan semula bermula Mac lalu dalam tiga fasa transformasi membabitkan kos RM35 juta.
Antara lain, taman itu akan mengalami perubahan fizikal dan infrastruktur lebih mesra pengguna, pelancong dan alam, sekali gus menjadi mercu tanda dan daya tarikan pelancong di ibu negara.

Dalam fasa pertama, Taman Botani Perdana dilengkapi air terjun menarik di Jalan Tembusu, kolam ikan serta pembinaan laluan papan menggunakan kayu daripada landasan kereta api, fasa kedua pula, sebanyak 1,275 pokok termasuk koleksi dan spesies pokok khas sempena nama negeri dan tempat di Malaysia turut di tanam di situ.

Laman Perdana yang akan menjadi kawasan penanaman pokok khusus kepada pemimpin luar negara yang membuat lawatan rasmi ke negara ini juga akan diwujudkan di taman ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Taman Botani Perdana semalam berkata, taman itu akan menjadi simbol dan landskap penting negara seperti kewujudan taman rekreasi terkenal di luar negara.
Katanya, taman botani atau rekreasi yang indah menjadi satu kemestian dalam landskap sebuah ibu kota seperti Hyde Park dan Kew Gardens di London, Central Park di New York dan The Royal Botanical Gardens di Melbourne.

“Saya percaya dengan adanya Taman Botani Perdana yang baru ini, ia meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke negara ini terutama dari luar negara,” katanya.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

Perdana Menteri dan isteri sebelum itu turut meluangkan masa hampir sejam melawat kawasan sekitar Taman Botani Perdana seperti kawasan ditanam koleksi pokok hutan, koleksi pokok unik, koleksi pokok buah-buahan serta mengambil gambar di air terjun di Jalan Tembusu.

Tuesday, June 28, 2011

Harian Metro Online

Mabuk punya hal

Oleh Azahar Hashim
am@hmetro.com.my
KULIM: Dua pendatang Myanmar bergaduh dipercayai mabuk selepas minum minuman keras yang berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut akibat pergaduhan itu di Jalan Bayu, di sini, semalam.
Mangsa berusia 30-an yang belum dikenal pasti identiti disahkan mati ketika menerima rawatan di Hospital Kulim selepas dikejarkan orang ramai yang menemuinya dalam cedera parah di depan kedai tempatnya bekerja.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang ramai berhubung penemuan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah di depan kedai terbabit kira-kira jam 8 pagi.

Berita Harian Online

Janda dera anak didenda RM34,000


2011/06/28

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal didenda RM34,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan mendera anak lelakinya berusia lapan tahun termasuk meletakkan tangan kanak-kanak itu di atas api dapur, November tahun lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap Lai Sok Phing, 37, dan turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara selama tiga tahun serentak jika gagal membayar jumlah denda berkenaan berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 27 November 2010.
Bagi tuduhan pertama, Sok Phing didenda RM15,000 atau penjara satu tahun bagi kesalahan mendera dengan merotan kedua-dua paha anak kandungnya, Tham Ming Tong sebanyak enam kali di bilik rumahnya di Nombor 18A, Jalan Gelang Off, Jalan Sungai Besi di sini, jam 10.30 malam, 27 November tahun lalu.
Bagi tuduhan kedua, dia didenda RM15,000 atau satu tahun penjara kerana mendera Ming Tong dengan meletakkan kedua-dua tangan anaknya itu di atas api dapur pada masa, tarikh dan tempat sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Sok Phing didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Sok Phing yang bekerja sebagai promoter jualan didenda RM4,000 atau satu tahun penjara atas tuduhan ketiga iaitu membiarkan kanak-kanak terbabit tanpa pengawasan, antara jam 10 pagi hingga 10.30 malam, pada tarikh dan tempat yang sama.

Bagi tuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pada prosiding sebelah pagi, Sok Phing mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan berkenaan sebelum Zaki Asyraf menetapkan jaminan sebanyak RM45,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias manakala Sok Phing diwakili peguam, Wan Azmir Wan Majid.

Berita dari Tiger News

Isu Panas dari Sumber Tigernews

Perhimpunan BERSIH-Demonstrasi Haram Wujudkan Kebimbangan

Kuala Lumpur- Isu panas yang masih lagi kuat didebatkan di dada-dada akhbar, media elektronik yang pastikanya berterusan. Persoalannya sampai bila isu ini berterusan.

Yang pasti kini pihak berkuasa berusaha menghalang Perhimpunan ini berlangsung dengan menahan beberapa yang dipercayai dalang yang berusaha menghasut rakyat untuk menyertai Perhimpunan itu nanti.

Pastinya segala usaha ini berhasil atau tidak. Itu persoalan yang timbul. Untuk mengetahui segala persoalan ini kita harus tunggu dan lihat.

Isu Panas yang melanda Negara perlu dibendung supaya tidak akan menjejaskan negara.
-Unit Warta Politik Tigernews

Monday, June 27, 2011

Harian Metro Online

Arwah anak pendiam


KOTA BHARU: Tiga penuntut Kolej Islam Sains & Teknologi (KIST), Kampus Utama Ibnu Sina, Kandis, Bachok, dekat sini, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15, Lebuhraya Kota Bharu-Pasir Mas, di sini, malam kelmarin, dilihat lebih banyak mendiamkan diri.
Ayah Allahyarham Mohammad Aliff Mohd Suhaimi, 19, Mohd Suhaimi Abdullah, 50, berkata sikap pendiam anaknya itu dilihat ketika kali terakhir bertemu pada petang kelmarin.

Menurutnya, ketika itu anak keduanya pulang ke rumah untuk mengambil salinan kad pengenalan ibunya.

“Saya tidak menyangka akan berlaku kejadian seperti ini dan seperti biasa Allahyarham Mohammad Aliff pulang ke rumah dengan menumpang kereta Wira milik rakannya, Fadhil Jamaludin, 19, dan kami bertemu kira-kira dua jam.


“Seperti biasa, dia berpesan kepada ibunya, Azmah Yusof, 43, untuk masak ikan singgang kegemarannya sebelum kedua-dua mereka pulang ke kampus kira-kira jam 6.30 petang,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HRPZ II, di sini, semalam.

Berita Harian Online

ISA jika gugat keselamatan
Oleh Wan Faizal Ismayatim Haspaizi, Mohd Zain dan Md Fuzi Lateh
bhnews@bharian.com.my
2011/06/27

KDN tak kompromi terhadap penganjur perhimpunan 9 Julai

HULU SELANGOR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan perhimpunan haram 9 Julai ini sekiranya tindakan mereka didapati menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya tidak memilih bulu dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengadakan perhimpunan haram itu.
“Saya tidak memilih bulu... PERKASA atau Pemuda UMNO hendak mengadakan perhimpunan juga kita tidak beri permit dan kita akan memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak jika melanggar peraturan.

“Jika ada huru-hara, saya (sebagai Menteri Dalam Negeri) bertanggungjawab untuk memastikan bahawa tindakan yang sesuai diambil mengikut undang-undang untuk mengawal keadaan. ISA tidak perlu (digunakan buat masa sekarang) tetapi boleh digunakan (jika keadaan memaksa).

“Bagaimanapun, buat masa sekarang, undang-undang lain boleh digunakan. Kita belum sampai ke tahap itu (guna ISA)... kami akan terus memantau situasi ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO, sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Hulu Se langor. Hadir sama pada majlis itu Ketua UMNO bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar.
Hishammuddin menjelaskan sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat mengikut ISA terhadap penganjur perhimpunan haram itu.

Ditanya kemungkinan pasukan tentera turut digunakan untuk mengawal keselamatan pada 9 Julai ini, beliau tidak menolak kemungkinan itu jika keadaan tidak dapat dikawal.

Mengulas dakwaan pembangkang bahawa beliau mengarahkan supaya polis menahan pihak yang ingin mengadakan jelajah perhimpunan haram itu, Hishammuddin menafikannya selain mendakwa beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, katanya, semua mereka yang ditahan setakat ini adalah mengikut undang-undang yang tersedia, bukan semata-mata kerana mengadakan jelajah mengenai perhimpunan itu tetapi ada elemen lain.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, kita tidak boleh biarkan perkara yang boleh menjejaskan negara dieksploitasi oleh pihak tertentu,” katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, polis menahan lapan individu semalam kerana mempromosikan perhimpunan haram di Taman Kosas yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Difahamkan, lapan individu terbabit termasuk ahli Dewan Pemuda PAS kawasan Ampang ditahan kira-kira jam 11 pagi kerana turut berhimpun tanpa permit polis selain mengganggu laluan trafik.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk direkodkan keterangan sebelum dibebaskan.

Berita dari Utusan Sarawak Online(Kerajaan digesa wujud akta khusus tangani salah guna daun ketum dan inhalan)

MELAKA: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) menggesa kerajaan mewujudkan akta khusus bagi menangani penyalahgunaan daun ketum dan bahan sedutan atau inhalan.
Yang Dipertua Pemadam Datuk Mohd Johari Baharum berkata ketiadaan akta khusus bagi penyalahgunaan daun ketum dan bahan sedutan atau inhalan seperti gam, menyebabkan penguatkuasaan yang lebih tegas tidak dapat dilakukan.
“Saya difahamkan rang-rang undang-undang berkaitan inhalan sudah siap digubal cuma belum dibentangkan di Parlimen, oleh itu kita meminta supaya rang undang-undang ini segera dibawa ke Parlimen untuk diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Agung Tahunan Pemadam ke-36 di Melaka International Trade Centre (MITC) Ayer Keroh di sini, semalam.
Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata penyalahgunaan daun ketum semakin serius terutama di beberapa negeri di utara Semenanjung manakala penagihan bahan inhalan amat membimbangkan di kalangan remaja.
“Sekarang ini, bahan inhalan seperti gam amat mudah untuk diperolehi oleh remaja, tidak ada undang-undang yang boleh dikenakan terhadap peniaga yang menjual bahan tersebut secara sewenang-wenangnya,” katanya.
Beliau juga berkata kesedaran mengenai bahaya dadah dan langkah pencegahan perlu dipertingkatkan kepada masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat digalakkan bersama Pemadam melaksanakan program itu secara berterusan.
“Kita mencadangkan dalam Khutbah Jumaat dimasukkan kesedaran dan langkah pencegahan terhadap bahaya dadah supaya ibu bapa dapat memainkan peranan dalam mengawasi anak-anak mereka,” katanya.
Beliau juga berkata Pemadam memohon kerajaan memperuntukkan sejumlah dana kepada organisasi itu bagi melaksanakan aktiviti di seluruh negara. — Bernama
Daun yang membolehkan seseorang itu menjadi khayal dan mabuk

Berita dari Utusan Sarawak Online(Sindiket ekor sasar kereta VIP)

KUALA LUMPUR: Sindiket ramalan nombor ekor yang menjadikan orang Melayu sebagai sasaran baru kegiatan penipuan itu bukan saja memperdayakan mangsa dengan menawarkan khidmat sami Buddha yang menjanjikan kemenangan, malah turut menjadikan pemilik kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran eksklusif sebagai sasaran.
Bergiat aktif di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan umum terutama orang Melayu, sindiket terbabit dikesan menggunakan taktik mudah untuk mencari mangsa dengan menjadikan pemilik kenderaan mewah dengan ‘nombor VIP’ sebagai sasaran untuk memperdaya mangsa kononnya boleh menggandakan wang pertaruhan dengan pertolongan sami dari negara jiran.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata pihaknya menerima aduan individu yang nyaris menjadi mangsa sindiket terbabit selepas bersetuju menyerahkan deposit RM50,000 untuk membeli nombor ekor.
Menurutnya, sindiket itu menyasarkan pemilik kenderaan daripada orang kenamaan (VIP) berdasarkan nombor pendaftaran tertentu selain jenis kereta yang diguna bagi memudahkan mereka menjerat mangsa dengan tawaran memenangi wang judi terbabit.
Katanya, mangsa yang menghubungi nombor telefon tertera akan diyakinkan dengan kebolehan ‘luar biasa’ sami terbabit dikatakan mampu meramal tepat cabutan empat nombor ekor dengan nilai kemenangan mencecah jutaan ringgit.
“Sebaik berhubung menerusi telefon, satu pertemuan akan diaturkan wakil sindiket terbabit dan kesempatan itu digunakan untuk memujuk mangsa menyerahkan wang kononnya digunakan untuk membeli nombor ramalan yang ‘mendapat restu’ sami.
“Tidak cukup dengan itu, mangsa ditunjukkan gambar MMS menunjukkan sejumlah besar wang yang kononnya dimenangi mereka yang menyertai ‘pelaburan’ nombor ekor berkenaan,” katanya, semalam.

Muhd Khairun yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno berkata, mangsa akan ditunjukkan beberapa gambar wang berkenaan sebagai bukti kemenangan selain dipujuk menyertai pakej tertentu yang ditawarkan dengan harga berbeza.
Bagaimanapun, katanya, dalam kes terbaru minggu lalu, mangsa terselamat daripada menjadi mangsa sindiket terbabit selepas didesak menyerahkan wang kononnya sebagai imbuhan kepada sami terbabit walaupun pada awalnya bersetuju untuk berbuat demikian.
“Selepas didesak memasukkan wang ke dalam akaun, mangsa berasa tidak sedap hati dan membatalkan hasratnya menyertai skim judi terbabit. Dia membuat aduan kepada biro,” katanya.

Berhati-hati dengan Sindiket pernipuan. Zaman sekarang sindiket pernipuan ada di mana-mana. Elakkan dari ditipu.
-Laporan Tigernews

Berita Harian Online

'Usah politik misi Gaza'
Oleh Oleh Fazli Abdullah, Rohaniza Idris dan Rashiqah Ilmi Abd Rahim
bhnews@bharian.com.my
2011/06/26

 MUHYIDDIN   melihat teknologi motosikal berkuasa tinggi ketika mengunjungi pameran Hari Terbuka Syarikat Berkaitan Kerajaan  di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur,  semalam.
MUHYIDDIN melihat teknologi motosikal berkuasa tinggi ketika mengunjungi pameran Hari Terbuka Syarikat Berkaitan Kerajaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
UMNO bukan punca Khalid tarik diri: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari PAS tidak perlu mempolitikkan penarikan dirinya daripada menyertai misi kemanusiaan antarabangsa ‘Freedom Flotila II’ ke Gaza, dengan mengaitkan wujudnya campur tangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam misi berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah tidak wajar langkah berbaur politik dikaitkan dengan misi kemanusiaan antarabangsa itu, kecuali Khalid sendiri yang suka hendak mempolitikkan hal berkenaan.
“Ini adalah misi kemanusiaan dalam usaha kita menghantar bantuan dan sukarelawan untuk membantu rakyat Palestin yang tertindas dan daif sekali. Kita melihat isu Palestin dari sudut kemanusiaan dan saya percaya rakyat kita tidak kira bangsa, keturunan, dan fahaman politik sudah mengambil pendirian sama.

“Rakyat memandang penderitaan Palestin itu sebagai menyekat hak dan kebebasan rakyat negara itu dan dalam soal ini, kita sepakat jika ada pihak yang sanggup berkorban nyawa mereka dialu-alukan. Saya tidak faham mengapa ada pihak mewujudkan salah faham niat baik kita ini,” katanya selepas mengunjungi pameran Hari Terbuka Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Khalid dilaporkan menarik diri daripada misi kemanusiaan itu kerana beliau merasakan wujud unsur campur tangan UMNO dan BN. Sebelum ini, Khalid bersama Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda UMNO, menyatakan kesediaan menyertai 10 sukarelawan Malaysia belayar ke Gaza menerusi misi kemanusiaan antarabangsa ‘Freedom Flotila II’.

Khalid tidak dapat dihubungi untuk mengulas lanjut.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, GLC mempunyai peranan penting kepada kerajaan dalam sektor ekonomi berdasarkan penerokaan mereka dalam bidang meluas dan tertentu, selain menjana hasil dan pendapatan yang digunakan untuk membangun negara.

“Cuma sampai ke satu peringkat, saya tak tahu bila masa, kalau pihak kerajaan beranggapan ada keperluan untuk GLC diserahkan sebagai sebuah syarikat kepada pi-hak yang lain, dalam pelbagai bentuk, itu terserah,” katanya mengulas pandangan sesetengah pihak bahawa kerajaan perlu melepaskan GLC yang sudah berjaya supaya mampu berdaya saing di peringkat global.

Di GEORGETOWN, Muhyiddin berkata kerajaan sedia mendengar pandangan dan cadangan sektor swasta mengenai kaedah meningkatkan kecekapan penjanaan tenaga dan penggunaannya serta mengurangkan beban ke atas perniagaan dan rakyat.

“Rundingan sewajarnya antara kerajaan dan sektor swasta selalu diambil kira sebelum perubahan besar dilakukan ke atas infrastruktur dan tarif utiliti awam serta subsidi,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina (ACCCIM) Ke-65, di sini semalam.

Harian Metro Online

Lapan lelaki berbaju kuning ditahan di Ampang


KUALA LUMPUR: Polis menahan lapan lelaki di Taman Kosas, Ampang di sini pagi tadi kerana memakai baju berwarna kuning yang bertulis "Bersih 2.0" dalam tulisan jawi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata kesemua mereka ditahan atas kesalahan memakai baju berkenaan dan seolah-olah menyokong perhimpunan haram 9 Julai ini. "Mereka juga didapati mengganggu-gugat ketenteraman orang ramai ketika menunggang motosikal di kawasan terbabit dan ekoran itu kita menahan mereka untuk langkah pencegahan awal," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Amiruddin berkata kesemua mereka kini masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan polis akan membebaskan mereka selepas keterangan diambil daripada mereka.
Difahamkan kesemua mereka yang dipercayai penyokong parti pembangkang berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan di hadapan Majid Taman Kosas kira-kira 11 pagi.

Berita dari Utusan Sarawak Online(Orang Melayu diminta teliti fakta siapa sebenarnya Ambiga…)

Peguam Yang melanggar undang -undang
Peguam Yang melanggar undang -undang
Rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu diminta meneliti siapa sebenarnya Datuk Ambiga Sreenevasan sebelum mengikut telunjuknya yang meminta rakyat mengadakan perhimpunan haram 9 Julai ini.
Bernama melaporkan, penganalisis politik berpendapat orang Melayu harus melihat kembali sejarah tindak tanduk Ambiga yang pernah menimbulkan kemarahan umat Islam terutamanya orang Melayu di negara ini sebelum secara membuta tuli mengikut kehendak dan telunjuknya.
Bekas Presiden Majlis Peguam itu adalah orang yang bertanggungjawab menerima memorandum menuntut pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) pada 21 Ogos 2001. Majlis Peguam telah menerima memorandum untuk menuntut pelaksanaan 14 tuntutan IFC yang jelas sekali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kes Lina Joy yang murtad, Ambiga telah mempertikaikan pelaksanaan hukum syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan kebebasan beragama turut termaktub kepada semua penganut agama Islam.
Beliau turut mengadakan forum mengenai memeluk agama Islam pada 9 Ogos 2008 yang membincangkan dan mempertikaikan secara terbuka Perkara 121 (1A). Biarpun mendapat bantahan daripada orang Islam, namun Majlis Peguam yang diterajui oleh Ambiga tetap meneruskan forum tersebut.
Justeru penganalisis politik berpendapat tindak tanduk Ambiga memperlihatkan diri beliau sebagai seorang yang tidak menghormati undang-undang dan perlembagaan dan dengan itu orang Melayu terutamanya harus memikirkan semula hasrat untuk menyertai perhimpunan haram 9 Julai yang diketuai oleh Ambiga.
Penganalisis politik bebas dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datin Paduka Prof. Dr. Ramlah Adam berkata sebagai seorang peguam, Ambiga sudah tentu arif mengenai undang-undang dan perlembagaan negara.
“Ambiga tahu sekiranya penganjuran sesuatu perhimpunan tidak mendapat permit daripada pihak polis maka perhimpunan itu tidak boleh dilakukan. Kita tidak faham kenapa dia tetap juga mahu meneruskan perhimpunan haram itu walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak,” katanya kepada Bernama.
Tegasnya, keperluan menganjurkan perhimpunan haram itu juga tidak jelas kerana jika penganjur ingin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka boleh menggunakan saluran yang betul seperti membuat kenyataan di surat khabar dan media elektronik dan bukannya mengadakan demonstrasi haram.
Pemerhati politik dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr. Zainal Kling pula menyifatkan golongan yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram itu tidak layak dan tidak patut menjadi pemimpin termasuk Ambiga.
Katanya, mereka terlampau mengikut parti tertentu yang memperjuangkan ideologi politik masing-masing.
“Lebih baik buat tunjuk perasaan sebagai parti politik dan bukan NGO. Jadi orang akan faham maksud dan matlamat mereka (pemimpin politik) terutama orang awam tentang kacau bilau dalam parti seperti PKR yang tidak bersih, DAP yang selalu bermaharajalela atau autokratik dan PAS yang tidak mengikut atau sudah lari daripada perjuangan asal mereka,” katanya.
Zainal menyifatkan tujuan perhimpunan haram itu adalah semata-mata untuk melindungi “kekotoran” dalam parti pembangkang.
“Mereka sedang cuba melahirkan keadaan kacau bilau, huru hara dan anarki yang semua ini berniat memberi isyarat buruk di mata dunia dan meniru taktik yang sedang dilakukan oleh negara yang menghadapi huru-hara,” katanya.

Sunday, June 19, 2011

Harian Metro Online

Dua beradik maut nahas

Oleh MD FUZI ABD LATEH
mdfuzi@hmetro.com.my
 
BATANG KALI: “Sukar untuk saya menerima hakikat ini,” kata Muhd Yusuf Ismail @ Sanadi, 21, selepas mengetahui dua adiknya, Nurfarahanim, 18, dan Mohd Danial, 5, maut dalam kemalangan di Batu 30, Jalan Kuala Lumpur- Ipoh, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 12.40 pagi, van dipandu bapanya, Ismail @ Sanadi Othman, 45, bertembung dengan lori muatan barang tiga tan dari arah bertentangan ketika dalam perjalanan dari Bandar Sungai Buaya, Rawang ke Kampung Sungai Behrang, Perak.

Selain bapa, ibunya, Noraida Abd Rahman, 39, yang sarat hamil anak ke-11 bersama dua adik lain, Norzarie Sopiah, 7, serta Mohd Haikal, 20 bulan, yang turut berada dalam van itu cedera parah dan dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB).
Mereka sekeluarga berkumpul di rumah Muhd Yusuf di Bandar Sungai Buaya malam itu sebelum bergegas pulang ke kampung sebelum jam 12 tengah malam.

“Empat puluh lima minit sebelum itu, kami sekeluarga bertemu dalam suasana mesra di rumah saya. Ia (kemalangan) berlaku dengan pantas,” katanya.

Muhd Yusuf bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh abang angkatnya, Shahrul Mat Daut, 28, mengenai kemalangan itu.

Sebelum kemalangan, Muhd Yusuf berkata, Nurfarahanim menunjukkan perangai pelik, seolah-olah petanda akhir hayatnya bersama mereka.

“Dia meminjam telefon bimbit saya untuk berbual dengan rakannya lebih 30 minit sehingga habis tambah nilai telefon saya, namun saya tidak ambil kisah mengenainya.
“Dia baru membeli peralatan sekolah di pekan Rawang sebagai persediaan menyambung pelajaran ke tingkatan enam. Kami berbual mesra sebelum mereka pulang (ke kampung),” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, siasatan awal mendapati van mangsa yang datang dari arah Rawang memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh lori terbabit.

Katanya, rempuhan itu mengakibatkan mangsa di tempat duduk belakang tercampak keluar.

“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke HKKB untuk bedah siasat sementara mangsa yang cedera dikejarkan ke HSB,” katanya.

Norel berkata, pemandu lori dikenali sebagai Jamali Mokhtar, 45 tidak cedera.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Behrang, jam 1.40 petang semalam.

Berita Harian Online

Lima negeri terasa gegaran


2011/06/19

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lima negeri di Pantai Barat Semenanjung mengalami gegaran akibat gempa bumi berukuran 5.2 pada skala Richter yang melanda Sumatera Utara di Indonesia, 310 kilometer dari barat daya Klang di Selangor, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.58 malam, gegaran itu dirasai di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Zaki Mohammad, berkata pusat gempa bumi adalah pada kedalaman 10 kilometer di 1.5 latitud utara dan 99.1 longitud timur.
“Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dilaporkan selepas gegaran itu,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Sebelum ini, beberapa lokasi di sekitar ibu negara, Putrajaya, Shah Alam dan Seremban merasai kesan gegaran akibat gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter yang melanda Sumatera Utara di Indonesia, 300 kilometer dari Pelabuhan Klang pada 14 Jun lalu.

Harian Metro Online

Rumah najis

Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa
am@hmetro.com.my
KOTOR...Aripin menunjukkan lantai pangsapuri yang dicemari air sisa kumbahan.
KOTOR...Aripin menunjukkan lantai pangsapuri yang dicemari air sisa kumbahan.
BERTAKUNG...air sisa kumbahan yang bertakung di PPR  Hicom di Seksyen 26, Shah Alam.
BERTAKUNG...air sisa kumbahan yang bertakung di PPR Hicom di Seksyen 26, Shah Alam.
SHAH ALAM: ‘Rumahku Syurgaku’ bukan lagi slogan sesuai digunakan penduduk pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom di Seksyen 26, Jalan Bukit Belimbing, di sini, berikutan kawasan letak basikal di perumahan itu ditakungi air najis dan sisa makanan daripada saluran paip sisa kumbahan yang tersumbat.
Keadaan itu diburukkan dengan sikap segelintir penduduk yang membuang sampah dari tingkat atas rumah mereka.

Menurut penduduk, Aripin Abu Bakar, 60, selain itu keadaan sekeliling kawasan pangsapuri itu juga tidak diselenggara dengan baik oleh pihak berkenaan.
Aripin mendakwa, selama enam tahun menetap di situ, jarang sekali pihak berkuasa atau pihak bertanggungjawab lain menjalankan rondaan di kawasan itu.

“Selama ini, masalah takungan air diuruskan dengan inisiatif kami sendiri. Namun, lama-kelamaan keadaan menjadi buruk dan pelbagai cara dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Menurut Aripin, pernah berlaku beberapa bahagian terutama dinding surau di bawah pangsapuri itu dicemari bau busuk dari air najis yang bertakung dan sisa makanan sehingga mereka terpaksa menukar tikar dan karpet dalam surau itu.

Tinjauan Metroplus mendapati, pengurusan kutipan sampah di kawasan itu tidak sistematik. Sampah-sarap bersepah di tepi tong sampah.

Aripin berkata, hanya kadangkala pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) datang mengutip sampah-sarap itu.
“Lebih membimbangkan ialah pembiakan aedes di takungan air Blok A,” katanya.

Tinjauan juga mendapati keadaan pangsapuri berkenaan tidak diselenggara dengan baik termasuk keadaan lif usang, ditambah pula bau busuk dan hanyir disebabkan takungan itu.

Malah, Aripin turut mendakwa terdapat ramai warga asing yang menetap di PPR berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, ketika dihubungi berkata pihaknya akan memantau kawasan berkenaan berikutan aduan itu.

Berita Harian Online

Barah payudara bukan penghalang


2011/06/19

 JEANNE   menyerahkan ijazah kepada graduan OUM pada  majlis  di Dewan Merdeka, PWTC, semalam.
JEANNE menyerahkan ijazah kepada graduan OUM pada majlis di Dewan Merdeka, PWTC, semalam.
KUALA LUMPUR: Disahkan menghidap barah payudara ketika menuntut di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) tidak pernah melunturkan semangat Bernardita Desiderio Mcgregor, 50, untuk menggenggam ijazah dalam bidang pendidikan.

Akhirnya, kesabaran suri rumah warga Filipina itu mengharungi setiap cabaran sepanjang bergelar isteri, ibu, pelajar dan pesakit, terbayar apabila diumumkan antara graduan cemerlang pada Konvokesyen Ke-10 OUM yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.
"Saya tekad menghadapi segala cabaran walaupun agak sukar selepas disahkan menghidap barah kerana perlu menjalani kemoterapi. Tanpa sokongan suami dan tiga anak, saya tidak akan berada di sini. Dengan ijazah ini saya akan mulakan tugas sebagai pensyarah di Universiti Oman," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Konvokesyen tiga hari bermula semalam menyaksikan 4,367 graduan menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD), ijazah dan diploma yang disampaikan Canselor OUM, Tun Jeanne Abdullah; Pro-Canselor, Tan Sri Azman Hashim dan Naib Canselor OUM, Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

Harian Metro Online

Ditembak ketika buka pintu pagar


SEDIH... keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan ketika menunggu proses bedah siasat.
SEDIH... keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan ketika menunggu proses bedah siasat.
BUTTERWORTH: Seorang pemilik kilang beras ditembak dipercayai oleh pembunuh upahan ketika membuka pintu pagar rumahnya di Taman Sungai Puyu, dekat sini, pagi semalam.
Ooi Chong Tian, 58, dikatakan baru tiba di rumahnya pada jam 1 pagi selepas keluar minum dipercayai bersama rakannya dan membuka pintu pagar untuk meletakkan kenderaan.

Sebuah kereta dipercayai jenis Proton Wira dipandu seorang lelaki bersama seorang lagi penumpang lelaki dikatakan mengekori sebelum tiga das tembakan dilepaskan ke arah Ooi.
Satu tembakan mengenai kepala dan satu lagi di leher mangsa sebelum suspek melarikan diri dari tempat kejadian.

Menurut sumber, keluarga mangsa dan jirannya yang terdengar bunyi tembakan bergegas keluar dari rumah dan mendapati mangsa parah dan berlumuran darah.

Katanya, mereka mengejarkannya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital jam 4 pagi tadi (semalam).

“Mangsa cedera parah, terutama apabila tembakan mengenai kepalanya, walaupun cuba diselamatkan pihak hospital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias mengesahkan kejadian itu dan usaha mengesan suspek dijalankan.

Menurutnya, pihaknya mengenal pasti kenderaan, identiti suspek dan juga motif kejadian.

Katanya, usaha mengumpul bukti dan maklumat mengenainya dilakukan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Sesiapa yang ada maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Tinjauan Metro Ahad di bilik mayat HSJ mendapati sehingga jam 3 petang semalam, keluarga dan rakan mangsa masih menunggu bedah siasat selesai dijalankan sebelum menuntutnya.

Berita Harian Online

Surat Najib untuk PBB
Oleh Mohd Azis Ngah
bminggu@bharian.com.my
2011/06/19

NAJIB menyaksikan majlis penyerahan cek RM20,000 kepada Noorazman (kiri) oleh Khairy pada Majlis Pelancaran dan Pelepasan Pasukan Lifeline4 Gaza (LL4G) Malaysia untuk International Freedom Flotilla II ke Gaza di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi.
NAJIB menyaksikan majlis penyerahan cek RM20,000 kepada Noorazman (kiri) oleh Khairy pada Majlis Pelancaran dan Pelepasan Pasukan Lifeline4 Gaza (LL4G) Malaysia untuk International Freedom Flotilla II ke Gaza di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi.
PM minta laluan selamat misi Malaysia ke Gaza

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak akan mengutus surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon meminta badan induk itu campur tangan memastikan misi kemanusiaan ke Gaza tidak diganggu rejim Israel.
Perdana Menteri menegaskan, misi pasukan Lifeline4Gaza Malaysia adalah suara masyarakat dunia yang menyokong misi pembebasan antarabangsa Flotilla II ke Gaza.
Beliau berkata, permohonan pasukan Lifeline4Gaza Malaysia supaya PBB menguatkuasakan undang-undang antarabangsa adalah wajar untuk memastikan tidak berlaku sebarang jenayah yang mengancam misi pasukan sukarelawan dunia.

“Kalau tidak ada suara lain (dunia lain) yang berani untuk memperjuangkan isu penduduk Palestin, Malaysia akan bersuara untuk membuktikan masih wujud rakyat berjiwa besar yang menentang kekerasan dan kezaliman ke atas penduduk Palestin,” katanya ketika melancarkan pasukan Lifeline4Gaza Malaysia bagi menyertai pembebasan antarabangsa Flotilla II ke Gaza di Stadium Badminton Cheras di sini, malam tadi.

Seramai 10 wakil Malaysia akan menyertai misi itu bersama wakil badan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara yang akan berangkat minggu depan melalui jalan laut dan darat.

Pasukan Malaysia diketuai Pengerusi LifeLine4Gaza Malaysia, Dr Noorazman Mohd Samsuddin. Turut serta Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari PAS.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri secara berseloroh berkata, semua anggota mesti pergi dan pulang dengan selamat supaya tidak perlu diadakan pilihan raya kecil selepas ini.

Bagaimanapun, beliau cukup yakin pasukan Lifeline4Gaza Malaysia akan berjaya menunaikan matlamat mereka walaupun berdepan ancaman tentera rejim Israel.

“Kita tidak boleh menggunakan kekerasan untuk menangani isu ini, tetapi kita ada cara lain untuk menunjukkan rasa simpati ke atas penderitaan Palestin. Kita tidak tahu bila isu ini akan selesai tetapi lambat-laun misi seperti ini akan memberi kesan kepada masyarakat dunia,” katanya.

Najib turut menyokong cadangan Dr Noorazman yang meminta PBB melantik wakil mereka untuk memeriksa kapal yang membawa bantuan kemanusiaan bagi mengelak sebarang prasangka buruk serta bukti mereka tidak membawa senjata.

Selain itu, Perdana Menteri juga bersetuju sekiranya Malaysia menubuhkan pusat trauma di Gaza yang dinamakan Pusat Trauma Malaysia bagi membantu anak yatim yang kehilangan ibu bapa dan mengalami tekanan hidup.

Saturday, June 18, 2011

Berita Harian Online

Najib minta bapa bimbing anak-anak jadi rakyat Malaysia yang terbaik


2011/06/18

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta golongan bapa supaya membimbing anak-anak mereka supaya menjadi rakyat Malaysia yang terbaik.

Dalam laman facebooknya, Najib mengajak golongan bapa merenungkan transformasi peranan bapa dalam keluarga sempena Hari Bapa hari ini.
"Semakin ramai kaum bapa mengimbangi tanggungjawab profesional dan peribadi mereka sebagai pembimbing anak. Saya sendiri cuba melakukan yang terbaik sebagai seorang bapa.
"Kepada kaum bapa, bimbinglah anak-anak kita, dan bekalkan mereka dengan keupayaan untuk menjadi ibu bapa dan rakyat Malaysia yang terbaik," katanya.

Najib juga menghantar kenyataannya itu kepada rakyat menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS). - BERNAMA