SUKAN SEA KE 26 DI JAKARTA-PALEMBANG INDONESIA BERMULA 11 NOVEMBER- 22 NOVEMBER 2011
Pungutan Pingat 11 negara Asia Tenggara dan kedudukannya.
Indonesia - 182 Emas + 151 Perak + 142 Gangsa = 475 Pingat
Thailand - 108 Emas + 100 Perak + 120 Gangsa = 328 Pingat
Vietnam - 96 Emas + 91 Perak + 100 Gangsa = 287 Pingat
Malaysia - 59 Emas + 50 Perak + 81 Gangsa = 190 Pingat
Singapura - 42 Emas + 45 Perak + 73 Gangsa = 160 Pingat
Filipina - 36 Emas + 56 Perak + 77 Gangsa = 169 Pingat
Myanmar - 16 Emas + 27 Perak + 35 Gangsa = 78 Pingat
Laos - 9 Emas + 12 Perak + 36 Gangsa = 57 Pingat
Kemboja - 4 Emas + 11 Perak + 24 Gangsa = 39 Pingat
Timor Leste - 1 Emas + 1 Perak + 6 Gangsa = 8 Pingat
Brunei - 0 Emas + 4 Perak + 7 Gangsa = 11 Pingat
Pungutan Pingat Setakat hari Pertama, hari kedua, hari Ketiga, hari keempat, hari kelima, hari keenam, hari ketujuh, hari kelapan, hari kesembilan, hari kesepuluh dan Jam 18:32 waktu Malaysia hari terakhir(kesebelas)
Raja utama skuad dahulu Oleh Sukhairi Abd Thani
sukhairi@bharian.com.my
2011/06/28
Pengendali Harimau Malaya enggan terlalu fikirkan keupayaan Taiwan
PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal mungkin sudah dapat mengagak rentak permainan Taiwan namun dia masih belum mahu meletakkan pemerhatian menerusi video ketika pasukan itu beraksi di Piala Cabaran, Mac lalu sebagai satu rumusan tepat bagi menilai keupayaan pasukan berkenaan.
Katanya, sama seperti pasukan negara, lawan juga mungkin melakukan pertukaran pemain yang dilanda kecederaan atau pun memasukkan nama baru dalam kesebelasan utama sebelum menghadapi Malaysia di pusingan pertama, kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Begitupun, bagi ketua jurulatih pasukan negara yang masih mengekalkan rekod tanpa kekalahan, tahun ini enggan terlalu memikirkan keupayaan lawan, sebaliknya mahu mementingkan skuad terlebih dulu bagi memastikan anak didiknya dapat membawa bekalan selesa untuk perlawanan timbal balik kedua di laman lawan pada 3 Julai ini.
“Saya sudah memberitahu pemain bagaimana mereka (Taiwan) bermain. Kemungkinan mereka macam kita juga, ada yang menghadapi kecederaan atau pun memasukkan pemain baru dalam pasukan. Walaupun begitu, kita sedikit sebanyak tahu cara mereka bermain.
“Sebagai contoh biarpun baru bermain dengan sesuatu pasukan seperti Lubnan, kita tidak boleh mengagak corak mereka bermain selepas itu kerana setiap kali perlawanan pastinya ada pertukaran corak permainan atau pun strategi. Apa yang penting kita perlu lakukan tugas yang diberi dengan baik nanti,” katanya yang ditemui selepas latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, semalam.
Skuad kebangsaan yang sebelum ini mengalami masalah kecederaan, tampaknya sudah boleh menarik nafas lega apabila beberapa nama seperti Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Fakri Saarani dan Abdul Hadi Yahya semakin beransur pulih.
Bagi Rajagobal, senarai kesebelasan utama diturunkan nanti akan ditentukan selepas latihan akhir, petang ini.
“Untuk perlawanan pertama ini, mana-mana jurulatih pun ingin bermula dengan baik dan menghasilkan kemenangan dan kita mahu mentaliti seperti ini diterapkan dalam pasukan,” katanya.
PASUKAN AAP Mazoil Faito Racing Team yang masih gagal tampil cemerlang berharap melakukannya pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Teluk Intan, Perak pada 25 dan 26 Jun ini.
Sebagai usaha untuk menjadikannya satu kenyataan, pasukan berpangkalan di utara tanah air itu melakukan perubahan drastik apabila menggantikan tiga pelumba sedia ada, Mohd Rafiuddin Rosle, Mohd Afif Mustaffa dan Mohd Hafizul Hamid dengan Mohd Ridwan Bakri (gambar) dan Mohd Syafiq Rosli. Ridwan, 24, sebelum ini beraksi bersama Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline sudah mula menyertai mereka pada Pusingan 4 di Putrajaya dalam kategori CP115 manakala Syafiq yang baru berusia 14 tahun akan mengambil bahagian dalam kategori Wira.
Pengurus pasukan, Rozaimi Rizal Mohd Razali berkata, pertukaran itu dibuat bersesuaian dengan matlamat pasukan untuk layak ke perlumbaan akhir dan memungut mata di setiap pusingan. Dia juga percaya jentera Honda yang digunakan sudah mampu untuk bersaing dengan pelumba lain terutama mereka di peringkat pertengahan dalam kategori CP115 dan juga Wira. “Matlamat utama kami untuk mengutip mata namun bagi mencapainya kami perlu memiliki pelumba yang bagus. Oleh itu, kami membawa masuk Ridwan dan Shafiq. Mereka lebih berpengalaman berbanding pelumba sebelum ini yang masih baru dengan kejohanan ini,” katanya.
Mengenai keyakinan terhadap jentera Hondanya, Rozaimi berkata, mereka menjalinkan kerjasama dengan pasukan satelit Honda iaitu Harian Metro TEQ SCK Honda Racing sejak hujung musim lalu dengan menggabungkan mekanik kedua-dua pihak supaya mempelajari banyak perkara tentang pelarasan jentera. “Usaha itu membuahkan hasil apabila kami kini sudah 70 peratus bersedia. Kami bekerja keras memperbaiki baki 30 peratus lagi seperti kesilapan teknikal, membaca litar dan juga keupayaan pelumba sendiri,” katanya.
Rozaimi berkata, pasukan turut menjalani latihan pada setiap minggu dengan harapan Ridwan dan Syafiq mampu mencapai apa yang diinginkan.
“Setiap minggu kami melakukan ujian bagi memastikan semuanya berjalan lancar bermula daripada pelarasan jentera sehinggalah kepada prestasi pelumba dan hasilnya banyak peningkatan mula ditunjukkan. “Oleh itu, kami harap Ridwan layak ke perlumbaan akhir dan menamatkan perlumbaan di kalangan lima atau 10 pelumba terbaik,” katanya.
Maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, www.malaysiancubprix.com.
Ahmad Shafie wira baru sukan air Oleh Nora Mahpar
bhsukan@bharian.com.my
2011/06/19
AHMAD Shafie menjulang trofi Olahragawan SUKMA yang dimenangi.
Latihan tiga bulan buahkan tiga emas, satu perak, satu gangsa SUKMA
SUKAN Malaysia (SUKMA) edisi ke-14 melabuhkan tirai Ahad lalu, namun nama Ahmad Shafie Abd Jabar, atlit kenu Johor masih meniti di bibir peminat yang menyaksikan kehebatannya menawan tasik Kompleks Sukan Air, Putrajaya.
Pencapaian memungut tiga emas, satu perak, satu gangsa di temasya itu memberi detik manis buat jejaka berusia 20 tahun ini kerana dinobatkan sebagai olahragawan SUKMA Kuala Lumpur itu.
“Petang sebelum majlis penutupan, saya diberitahu jurulatih dinobatkan sebagai olahragawan... Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya perasaan saya ketika itu,” katanya yang tidak menyangka akan menyerlah pada temasya kali ini.
Penyertaan kali ketiga itu sangat bermakna buat Ahmad Shafie yang berasal dari Tampoi kerana latihan tiga bulan membuahkan hasil berbanding penyertaannya di SUKMA Melaka tahun lalu yang hanya berjaya membawa pulang sebutir perak dan empat gangsa.
“Saya tujukan anugerah ini khas untuk jurulatih saya, Fajan Satta yang tidak jemu melatih dan menurunkan ilmu untuk melihat saya menjadi yang terbaik dalam sukan ini... tidak dilupakan, ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan padu dan mendoakan kejayaan saya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Berbekalkan pengalaman selama sembilan tahun dalam sukan kenu, anak ketujuh daripada sembilan adik beradik ini disunting menjadi jurulatih oleh Persatuan Kenu Johor untuk melatih atlit yang mewakili Johor ke Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).
“Jika satu hari nanti, kudrat saya sudah tidak diperlukan lagi mungkin saya akan membuka taman rekreasi air yang menawarkan aktiviti sukan berkayak atau kenu... biarlah orang di luar sana pula merasai keseronokan sukan ini,” katanya.
PROFIL
Nama: Ahmad Shafie Abd Jabar Umur: 20 tahun Tinggi: 1.65 m Berat: 64 kilogram Hobi: Menonton wayang Tarikh lahir: 4 September 1991 Asal: Tampoi, Johor Anak: Ketujuh daripada sembilan beradik Pekerjaan: Jurulatih sementara kenu, Persatuan Kenu Johor
Gempur! Daripada Syed Riduan Ahmad di Beirut, Lubnan
smriduan@nstp.com.my
2011/06/19
PEMAIN skuad Olimpik gigih berlatih di Beirut semalam menjelang pertemuan menentang Lubnan, malam ini.
Kim Swee yakin dakwaan rasuah tak gugat minda pasukan atasi Lubnan
KETIKA fikiran pemain skuad Olimpik berkecamuk dengan soal dakwaan rasuah, Ong Kim Swee pantas mengalih fokus kepada perlawanan menentang Lubnan, malam ini yang dianggap lebih penting untuk menjulang nama negara di persada antarabangsa.
Pengendali berkenaan harus akur tugas memberi motivasi kepada anak didik bukan mudah tapi dia yakin betapa hebat semangat dimiliki pasukan dibimbingnya itu dan minta mereka tidak mempedulikan sebarang laporan atau kritikan negatif yang mampu menjatuhkan semangat dan moral sepasukan.
“Kami akan cuba melangkah sejauh mungkin dalam pusingan kelayakan ini dan jika dapat layak ke pusingan ketiga, ia adalah satu bonus.
Saya sedar harapan peminat cukup tinggi dan kami akan berusaha keras untuk merealisasikan hajat besar itu,” katanya di Beirut, semalam.
Skuad Olimpik kebangsaan akan bertemu Lubnan di Stadium Camille Chamoun Sports City, jam 5 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia) sebelum perlawanan timbal balik di ibu negara pada 23 Jun ini.
Kim Swee sendiri turut kecewa dengan dakwaan mengatur perlawanan oleh skuad Olimpik yang dirasakannya timbul pada masa yang kurang sesuai. “Anda dapat lihat sendiri pengorbanan yang mereka lakukan,” kata Kim Swee.
“Sejak awal tahun mereka bekerja keras memenuhi tuntutan saingan Liga Super dan kini untuk misi kelayakan Olimpik pula. Saya sedar kritikan yang dilemparkan, dan saya nasihatkan pemain membuktikan kemampuan sebenar pada perlawanan bertemu Lubnan nanti (hari ini).
Sementara itu, pengurus pasukan remaja Lubnan, Nasser Bakhtr berkata di atas kertas memang mereka mempunyai kelebihan tetapi tidak mahu pasukan tuan rumah memandang rendah keupayaan Malaysia.
“Saya sempat menonton perlawanan antara Malaysia dan Qatar, walaupun tewas 0-4 saya dapat nilaikan kemampuan pemain pasukan negara anda. Saya harap pertemuan dengan Malaysia nanti seimbang dan menarik.”
Skuad Harimau Malaya tekad tunjuk taring tunduk Myanmar Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
sukanbh@bharian.com.my
2011/06/18
TIMBALAN Presiden Persatuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Anuar Musa (tengah) diapit jurulatih Myanmar, Milan Zibadinovic (kanan) dan Rajagobal bersama pemain negara dan Myanmar pada Majlis Suaikenal pasukan di Kota Bharu, semalam.
PERTEMBUNGAN skuad Harimau Malaya menentang Myanmar di Kota Bharu, malam ini menjadi perlawanan penting kepada ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal dalam usaha mencari kombinasi pemain lengkap serta terbaik.
Menurut pengendali berkenaan, pertemuan ini akan menjadi satu titik permulaan dalam mencanang skuad kebangsaan mantap sebelum berdepan Taiwan dalam saingan kelayakan Piala Dunia pada 29 Jun ini.
“Saya tetap menganggap perlawanan persahabatan dengan Myanmar ini penting menilai kekuatan sebenar pasukan selain menjadi medan persediaan ke arah mencari kombinasi pemain terbaik.
“Di sini kita dapat memastikan pemain yang mampu memberi persembahan terbaik dalam saingan Piala Dunia itu sekali gus berupaya memberikan kemenangan kepada Malaysia untuk terus melangkah ke pusingan seterusnya.
“Walaupun ini adalah perlawanan persahabatan saja, namun saya tetap mahu pemain memberi persembahan terbaik membuktikan Malaysia mampu menundukkan lawan esok (malam ini),” katanya pada majlis suaikenal antara pemain Malaysia dan Myanmar di KB Mall, di Kota Bharu, semalam. Hadir sama Jurulatih Myanmar, Milan Zivadinovic.
Sementara itu, Zivadinovic, menegaskan pemainnya akan menggunakan peluang ini mempamerkan persembahan terbaik walaupun terpaksa berhadapan dengan sorakan gemuruh penonton tuan rumah.
“Dalam masa 90 minit perlawanan nanti, saya akan memastikan Myanmar akan memberi persembahan terbaik dan akan menjadikannya sebagai gelanggang penting menimba pengalaman dari pasukan yang digeruni di rantau ini,” katanya.
KETUA Eksekutif Chelsea FC, Ron Gourlay meluahkan rasa terujanya mengenai jelajah pra-musim kelab berkenaan di Malaysia, 21 Julai ini.
Gourlay percaya Kuala Lumpur mampu menjadi pentas sempurna untuk persiapan kelab itu musim depan selain menjalinkan hubungan erat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sentiasa menyokong mereka di rantau Asia Pasifik.
Ketika majlis pelancaran 'Blue Pitch' baru-baru ini, Gourlay menjelaskan mengapa dia mahukan kelab itu kembali ke Kuala Lumpur selepas kunjungan terakhir mereka tiga tahun lalu.
"Kali terakhir kami berada di sini, seramai 65,000 penonton menyaksikan kami di stadium dan ia satu pentas hebat untuk perlawanan seterusnya dan menjadi faktor utama mengapa saya meletakkan pasukan itu di sini sebagai permulaan Jelajah Asia," katanya.
"Kemudahan, sokongan dan kerjasama media memberi asas yang diperlukan untuk persediaan permulaan musim depan.
"Kami akan membawa keseluruhan skuad. Pasukan ini sudah kembali berlatih dan beraksi dalam dua perlawanan sebelum berkunjung ke Malaysia," katanya.
Justeru, pihaknya amat menantikan kunjungan itu dalam usaha mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim yang sukar selepas ini.
"Semua kesebelasan utama akan menyertai kunjungan ini membabitkan 30 pemain dan anda akan dapat melihat aksi pemain utama," katanya.
"Kami juga akan menyediakan zon peminat di stadium buat pertama kali bagi memberi anda peluang bertemu Stamford the Lion, beberapa pemain legenda yang akan menyertai kunjungan kami selain memberi peluang kepada anda merasai pengalaman dan gaya operasi Chelsea yang berbeza berbanding kelab Eropah lain," katanya.
Sementara itu, bagi memeriahkan kunjungan Chelsea ke negara ini, Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd, baru-baru ini memperkenalkan program ganjaran terkini kepada pelanggan mereka.
Pembeli barangan Samsung berpeluang memenangi pelbagai ganjaran antaranya 600 tiket untuk menyaksikan pertarungan Chelsea menentang pasukan bola sepak kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Turut menjadi rebutan termasuk jersi dan bola Chelsea manakala dua peserta bertuah akan memenangi hadiah utama iaitu berada di bangku pasukan bersama pemain kelab berkenaan.
"Sebelum ini, tiada seorang pun pelanggan dari Malaysia yang bukan saja diberi peluang menyaksikan bintang bola sepak itu beraksi tetapi duduk bersama mereka. Ia satu peluang seumur hidup untuk dua pemenang terpilih," kata Pengarah Urusan Samsung Malaysia Electronics, Kwon Jae Hoon.
Impian itu boleh menjadi kenyataan dengan dua langkah mudah. Beli sebarang produk Samsung bernilai RM300 dan hantarkan maklumat anda menerusi SMS dan secara automatik, anda berpeluang memenangi jersi rasmi Chelsea dan tiket perlawanan bola sepak untuk menyaksikan kehebatan pemain Chelsea.
Pembelian dibuat menerusi resit tunggal dari mana-mana pengedar Samsung seluruh negara dari 7 Jun hingga 10 Julai 2011.
"Memiliki tiket untuk perlawanan itu adalah sesuatu yang hebat tetapi pastinya ia satu pengalaman luar biasa jika anda dapat duduk bersama Frank Lampard, Fernando Torres, John Terry dan Nicholas Anelka.
"Menerusi Pertandingan Samsung Chelsea 2011, dua pemenang bertuah akan mendapat peluang sekali seumur hidup, yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
"Ia tidak berakhir di situ saja kerana anda juga boleh memenangi jersi Chelsea dan bola sepak sebagai koleksi," katanya.
Selain 600 tiket untuk menyaksikan pasukan Chelsea beraksi menentang skuad Harimau, 200 jersi Chelsea akan diberikan kepada 40 pemenang pertama setiap minggu untuk lima minggu berturut-turut.