API dan asap kelihatan dari Hotel Intercontinental ketika pertempuran di antara NATO dan pejuang Taliban yang melancarkan serangan bunuh diri, semalam.
ASKAR asing meninggalkan Hotel Intercontinental selepas pasukan tentera berjaya mengawal keadaan di hotel berkenaan terhadap Taliban, semalam. Komando Afghanistan dibantu helikopter NATO bertempur dengan 9 lelaki bersenjata
KABUL: Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh, apabila sembilan pejuang Taliban lengkap bersenjata, menyerbu sebuah hotel utama di Kabul, sebelum bertempur selama beberapa jam dengan anggota komando Afghanistan yang dibantu helikopter Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam.
Ketua Polis Kabul, Ayub Salangi berkata dalam kejadian itu, sembilan orang awam kebanyakannya pekerja hotel dan dua pegawai polis antara yang terbunuh manakala 18 yang lain cedera.
Beliau berkata, semua sembilan penyerang terbabit terbunuh selepas mereka menyerbu Hotel Intercontinental yang sering menerima tetamu daripada kalangan pegawai asing dan Afghanistan lewat kelmarin.
Saksi berkata, bunyi tembakan senjata api jelas kedengaran ketika kejadian, manakala sebahagian daripada bangunan hotel itu terbakar.
“Selepas beberapa letupan, penyerang memasuki hotel dan menuju ke dewan besar.
“Ada di antara mereka membawa pembesar suara yang membunyikan lagu perang Taliban dan menembak sesiapa saja yang mereka lihat kelibat mereka.
“Penghuni hotel di tingkat tiga dan dua melompat keluar untuk menyelamatkan diri,” kata seorang penyambut tetamu.
Hotel milik kerajaan yang dibina pada 1960-an itu tidak mempunyai kaitan dengan rangkaian Hotel Intercontinental antarabangsa, menempatkan delegasi yang menghadiri persidangan keselamatan Afghanistan, manakala satu majlis perkahwinan meriah sedang diadakan ketika serangan berlaku.
“Sembilan pengganas bersenjata menyerang hotel Intercontinental, kira-kira jam 11 malam tadi (waktu tempatan).
“Operasi berakhir kira-kira jam 3 pagi selepas semua pengganas dibunuh,” kata kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan.
Antara tetamu di hotel berkenaan termasuk pegawai kerajaan dari seluruh negara yang berada di Kabul bagi menghadiri persidangan mengenai penyerahan kuasa tentera asing kepada pasukan keselamatan Afghanistan.
Proses dijadual bermula bulan depan.
Penghuni hotel yang panik diminta bersembunyi di bilik masing-masing, selepas penyerang yang dipercayai memakai jaket kalis peluru, membawa mesingan dan pelancar roket, berjaya melepasi kawalan keselamatan.
Jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), Mejar Tim James, berkata pihaknya menghantar sebuah helikopter selepas mendapat permintaan pihak berkuasa Afghanistan.
“Ia terbang rendah di bumbung hotel dan berlegar beberapa kali. Anggota kami dapat mengenal pasti dengan jelas sekumpulan pemisah yang bersenjata dan memakai jaket kalis peluru lalu melepaskan tembakan menggunakan senjata kecil.
“Kami mendapat laporan beberapa letupan berlaku mungkin berpunca daripada pemisah yang meletupkan bom di tubuh mereka atau tembakan yang dilepaskan dari helikopter,” katanya.
Sementara itu jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengaku kumpulan itu bertanggungjawab ke atas serangan yang dilakukan di hotel itu.
Beliau mendakwa militan berjaya menawan hotel dan membunuh 50 tetamu termasuk pegawai kerajaan dan asing, malah menahan 300 lagi sebagai tebusan.
Laporan itu bgagaimanapun tidak dapat disahkan. – AFP/Reuters
INFO
KRONOLOGI SERANGAN
Lima penyerang bersenjata dan empat pengebom bunuh diri menyerbu masuk Hotel Intercontinental.
Taliban mengaku terbabit dalam serangan nekad di tengah-tengah Kabul itu
Helikopter NATO menembak ke arah penyerang yang berada di bumbung hotel Intercontinental.
WASHINGTON: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin rakyat percaya bahawa perjuangan Barisan Nasional (BN) masih relevan dan tidak akan terjebak dengan perang psikologi pembangkang yang kononnya akan dapat menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
“Itu perang psikologi mereka mulakan untuk membetulkan fikiran rakyat bahawa tidak guna sokong BN kerana BN akan kalah. Dia main psikologi menang, sokonglah mereka dan mereka akan tubuhkan kerajaan,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas melawat University Maryland di sini Isnin.
Muhyiddin yang berada di Washington bagi lawatan kerja empat hari bermula Ahad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dilaporkan berkata pembangkang boleh menawan 11 negeri pada pilihan raya umum akan datang.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO berkata, pembangkang boleh mendakwa mempunyai kemampuan untuk menang pada pilihan raya umum akan datang dan mendapat kerusi banyak tetapi yang membuat pilihan adalah rakyat.
“Mereka boleh kata mereka menang dalam pilihan raya umum dan dapat kerusi banyak tapi yang penting untuk BN teruskan agenda kita melalui janji dengan mereka yang berkaitan baik dalam bidang masyakarat, ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya.
“Dalam satu sudut, kita lihat dalam keputusan pilihan raya kecil, termasuk (pilihan negeri) Sarawak, walaupun pembangkang buat pelbagai andaian seperti boleh ambil alih kerajaan, rakyat yang membuat keputusan dan menentukannya,” katanya.
Bagaimanpun, Muhyiddin mengingatkan adalah penting bagi BN meneruskan agenda demi kepentingan rakyat. “Saya tahu cabaran bukan mudah.
Pembangkang sudah ada cita-cita untuk tumbangkan kerajaan dan Putrajaya menjadi sasaran mereka.
Bagaimanapun kita (BN) tidak boleh ambil mudah,” katanya.
Muhyiddin berkata Kit Siang sebenarnya bimbang BN sudah melangkah ke hadapan dengan transformasi politik dan ekonomi yang akan memberi impak besar.
“Pembangkang juga semakin bimbang ‘Road To Putrajaya’ mereka terbantut, jadi mereka buat perang psikologi. Saya yakin rakyat tidak akan terjebak,” katanya. — Bernama
LOS ANGELES: Dua tahun selepas kematiannya, waris Michael Jackson dilaporkan berdepan dengan risiko diabaikan apabila penjaga utama mereka yang juga kakak ipar Raja Pop itu dihalau dari rumah April lalu.
Menurut Alejandra Jackson (gambar), selepas dia meninggalkan rumah menempatkan anak Michael - Prince, 14; Paris, 13; dan Blanket, 9 - kebajikan ketiga-tiga mereka terletak di tangan ibu Raja Pop terbabit, Katherine, dan pengasuh serta pengawal peribadi.
Katanya, dia bimbang kesihatan Katherine yang kini berusia lanjut (81 tahun).
“Saya bimbangkan masa depan anak-anak Michael.
Katherine memang menggaji pengasuh dan pengawal peribadi untuk membantunya, tetapi mereka perlukan lebih daripada itu.
“Anak-anak Michael perlukan kasih sayang. Ada perbezaan di antara pengasuh dan keluarga sendiri,” katanya.
Alejandra, 41, tinggal bersama keluarga selebriti Jackson di Encino, California, selama dua dekad.
Apabila Michael mati akibat pengambilan ubat berlebihan dua tahun lalu, Alejandra dilaporkan menjadi watak penting kepada Prince, Paris dan Blanket.
Kata Alejandra, dia sangat menyayangi anak Michael.
“Saya bersama mereka siang dan malam dan memberikan didikan seperti anak sendiri,” katanya.
Alejandra mula bercinta dengan adik Michael, Randy, ketika dia baru berusia 17 tahun.
Hasil hubungan itu, pada 1989, mereka mendapat anak perempuan, Genevieve, tetapi berpisah sebelum anak kedua mereka, Randy Jr (kini 19 tahun) lahir.
Pada Mac 1995, Alejandra menjalin hubungan cinta secara rahsia dengan abang Randy, Jermaine, dan mendapat dua anak - Jaafar, 14, dan Jermajesty, 10.
Walaupun bercerai pada 2008, Alejandra masih menetap di rumah keluarga itu dan membantu membesarkan anak-anak Michael.
Dia akhirnya diusir ekoran perselisihan faham dengan Jermaine mengenai bayaran sokongan untuk anak-anak Michael. - TS
DUA beradik kembar, Karissa (kiri) dan Kristina Shannon yang menjadi bekas kekasih Hefner.
HUGH Hefner.
HOLLYWOOD: Pengasas Playboy Hugh Hefner dikatakan sudah pekak kerana mengambil terlalu banyak pil Viagra, kata bekas kekasihnya, kembar Karissa dan Kristina Shannon.
Bagaimanapun, Karrisa dan Kristina, 21, berkata kasanova berusia 85 tahun itu tidak akan berubah kerana dia tidak mahu kehilangan nafsu seksualnya.
Karissa berkata: “Hefner memberitahu dia lebih rela menikmati seks berbanding memiliki deria pendegarannya. Dia memakai alat bantuan pendengaran dan hanya boleh mendengar melalui sebelah telinga saja. “Anda perlu menghampirinya dan bercakap dekat di telinganya supaya dia dapat memahami anda.
“Kami boleh duduk di sampingnya tetapi dia tidak tahu apa yang kami bualkan,” kata kembar itu lagi.
Kajian di Amerika Syarikat tahun lalu memberi amaran bahawa lelaki yang mengambil pil Viagra dalam jumlah yang banyak berkemungkinan menghadapi kehilangan deria pendengaran secara berganda.
Pakar perubatan Doktor Carol Cooper berkata: “Ia memberi kesan kepada saraf kita.” Karissa dan Kristina yang tinggal di rumah agam milik Hefner di Los Angeles selama dua tahun berkata, lelaki itu juga turut kehilangan daya ingatan.
Karissa berkata: “Dia juga selalu lupa dengan nama haiwan peliharaan kami.” Selasa lalu, tunang Hefner, Crystal Harris, 25, membatalkan perkahwinan mereka - mengatakan dia tidak rela berkongsi Hefner dengan wanita lain. Karissa dan Kristina yang tinggal bersama Hefner ketika berusia 18 tahun dikatakan menimbangkan untuk berpindah semula ke kediaman bos Playboy itu. - Agensi
BANDAR Itate, Fukushima, lengang selepas penduduknya dipindahkan akibat kenaikan paras radiasi, Mei lalu.
GUNDERSEN mengulas bencana nuklear Fukushima.
Krisis nuklear 20 kali ganda teruk daripada Chernobyl
WASHINGTON: Pakar sains percaya bencana nuklear Jepun sebenarnya lebih teruk daripada apa yang didedahkan untuk pengetahuan umum dan lebih serius dibandingkan krisis loji Chernobyl, Ukraine, lebih dua dekad lalu.
Gempa bumi pada tahap magnitud 9 pada 11 Mac lalu disusuli tsunami melumpuhkan sistem penyejukan di loji nuklear Fukushima diikuti beberapa letupan hidrogen dan reaktornya lebur hingga memaksa penduduk yang tinggal dalam lingkungan 20 kilometer dari loji itu dipindahkan.
Ibu Pejabat Tindakan Kecemasan Nuklear Jepun mengakui awal bulan ini bahawa reaktor 1, 2 dan 3 loji Fukushima lebur sepenuhnya.
Syarikat Elektrik Tokyo (TEPCO) yang bertanggungjawab atas reaktor itu turut mengumumkan ‘kemalangan’ itu mungkin melepaskan lebih banyak bahan radioaktif ke alam sekitar berbanding Chernobyl sekali gus menjadikannya bencana terburuk nuklear dunia setakat ini.
Ketika diwawancara stesen Al Jazeera, seorang pakar nuklear, Arnold Gundersen, berkata: “Fukushima adalah bencana industri terbesar dalam sejarah manusia.”
Beliau percaya, lebih banyak teras reaktor di loji nuklear Fukushima melepaskan radiasi daripada apa yang diketahui umum.
Gundersen mempunyai pengalaman kejuruteraan kuasa nuklear selama 39 tahun dan pernah mengurus serta menyelaras projek di 70 loji kuasa nuklear seluruh Amerika Syarikat.
TEPCO menyembur air ke beberapa reaktor dan teras bahan api nuklear loji itu tetapi ia hanya membawa lebih banyak masalah termasuk radiasi dilepaskan ke udara dan air laut termasuk beribu-ribu tan air laut dicemari radioaktif yang perlu dibuang.
Baru-baru ini, TEPCO mendedahkan rancangan baru membersihkan air yang mengandungi radioaktif tetapi menangguhkannya kerana masalah teknikal yang bermakna proses menyejukkan reaktor Fukushima belum bermula.
“Masalahnya ialah bagaimana menyejukkannya. Mereka curah air tetapi bagaimanakah mereka dapat buang mendapan radioaktif yang dihasilkan serta mengandungi plutonium dan uranium? Di mana mereka boleh simpan air itu?
“Sebanyak 20 teras nuklear terdedah (dan melepaskan radiasi), itu bermakna ia berpotensi 20 kali ganda lebih buruk kesannya berbanding Chernobyl.
“Anda tidak mungkin dapat bersihkannya. Kita masih kesan radiasi pada babi hutan di Jerman, 30 tahun selepas Chernobyl berlaku,” kata Gundersen.
Di Tokyo, kebimbangan meningkat selepas penduduk diberi amaran supaya tidak memberi air paip kepada bayi mereka kerana kebocoran radiasi di Fukushima.
Meskipun amaran itu kemudian ditarik balik, kadar radiasi dalam produk ladang termasuk daun teh di kawasan lebih jauh dari Fukushima, melebihi had ditetapkan.
Tinjauan terbaru mengesan radiasi satu meter di atas tanah di sebuah taman di Tokyo mencapai 0.06 mikrosievert sejam.
Saintis lain yang memantau ‘kawasan panas’ radioaktif di sekitar Jepun dan tempat lain turut bimbang, lebih-lebih lagi selepas seorang penasihat kerajaan Jepun melaporkan kawasan seluas 966 kilometer persegi, 17 kali ganda saiz Manhattan, mungkin tidak sesuai untuk didiami.
Dua pakar perubatan kanan Amerika, Janette Sherman dan Joseph Mangano menyiarkan artikel mengenai peningkatan 35 peratus kematian bayi di lapan bandar di barat laut Amerika yang mungkin disebabkan radiasi Fukushima.
Bandar itu termasuk San Jose, Berkeley, San Francisco, Sacramento, Santa Cruz, Portland, Seattle dan Boise. Gundersen berkata, radiasi yang dilepaskan sebenarnya lebih banyak hingga sampai ke bandar di Amerika.
Paling bahaya ialah ‘partikel panas’ membabitkan pembebasan isotop caesium, strontium dan plutonium.
“Kami temui partikel panas di semua tempat di Jepun, termasuk Tokyo. Ramai menghidunya kerana ia memasuki penapis udara enjin kenderaan.
“Partikel itu akan melekat pada paru-paru dan akan sentiasa memberi masalah. Sebatang rokok yang dihisap tidak bahaya kerana memakan masa lama. Partikel panas itu boleh menyebabkan kanser dan ia tidak dapat diukur menggunakan alat Geiger,” katanya. – Agensi
Benigno Aquino beri amaran tidak benarkan Beijing buli Manila
MANILA: Filipina semalam menghantar kapal tentera lautnya ke perairan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian berikutan ketegangan dengan Beijing mengenai tuntutan bertindih kedua negara terbabit di Kepulauan Spratly.
Bagaimanapun, jurucakap jabatan pertahanan, Eduardo Batac menegaskan bahawa penghantaran itu adalah tugasan rutin dan tidak mempunyai kaitan dengan pengumuman oleh China bahawa satu kapal maritim rondaan lautnya lalu kawasan terbabit.
“Saya tidak fikir ini ada kaitan. Tentera laut menjalankan rondaan laut biasa dan kita tidak perlu kaitkan penghantaran Rajah Humabon dengan penghantaran kapal tentera laut China,” katanya kepada media.
Batac tidak mengetahui sama ada kapal China sudah menghampiri perairan yang dituntut kedua-dua negara itu dan tidak menyebut bila kapal Filipina itu akan dihantar atau ke mana ia akan dihantar.
Rajah Humabon, bekas milik tentera laut Amerika Syarikat dibina ketika Perang Dunia ke-2 yang menjadi antara kapal perang tertua di dunia. Ia memulakan perkhidmatan dengan Tentera Laut Filipina pada 1980.
Meskipun Batac membuat kenyataan menafikan kena mengena dengan China, Presiden Benigno Aquino terus terang memberi amaran kepada Beijing agar tidak mencabul kawasan tuntutan Manila.
“Kami tidak akan benarkan dibuli hanya kerana kami negara kecil. Kami juga ada sebab kukuh untuk menyuruh mereka tidak mencabul wilayah kami dan itu bukan sumber atau punca pertikaian,” katanya.
Benigno berkata, Filipina sudah menamatkan tinjauan gas dan minyak di Tebing Reed Bank, kira-kira 130 kilometer dari wilayah Palawan dan menyifatkan hasilnya menggalakkan.
Filipina mempunyai tuntutan bertindih dengan China, Taiwan, Vietnam, Malaysia dan Brunei mengenai kawasan yang kaya dengan sumber di Laut China Selatan itu.
Ketegangan sejak sekian lama tercetus semula dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini berikutan dakwaan oleh Filipina dan Vietnam bahawa China meningkatkan tindakan agresif untuk menguasai wilayah yang dituntut itu.
Filipina mendakwa China bulan ini menghantar kapal tentera laut di sekitar Pulau Spratly di Laut China Selatan terbabit, selain mendakwa bahawa China memasang pos dan pelampung berhampiran kawasan terbabit.
Empat maut, 28 cedera dalam serangan bom di Pakistan
2011/06/18
QUETTA: Empat maut termasuk dua kanak-kanak dan 28 mengalami kecederaan hari ini dalam letupan bom dan serangan pengganas ke atas tentera, kata pegawai keselamatan.
Kanak-kanak dan seorang awam terbunuh akibat bom motosikal kawalan jauh yang menyasarkan pasukan keselamatan di daerah Punjgur, wilayah Baluchistan.
"Tiga orang termasuk dua kanak-kanak terbunuh dan 26 cedera. Sasaran sebenar adalah konvoi tentera," katanya