LOGO Tigernews

LOGO Tigernews
TIGERNEWS NEWS in THE WORLD

Welcome

SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG TIGERNEWS
PASTIKAN ANDA BERPUAS HATI DENGAN BLOG INI
TIGERNEWS NEWS in THE WORLD SISIPAN BERITA ONLINE
Showing posts with label Berita Ekonomi. Show all posts
Showing posts with label Berita Ekonomi. Show all posts

Wednesday, June 29, 2011

Berita Harian Online

Harga saham MSM naik RM1.48
Oleh Mahanum Abdul Aziz
mahanum@bharian.com.my
2011/06/29

MOHD Isa melihat pergerakan saham  MSM  Malaysia Holdings Berhad yang didagangkan sambil diperhatikan    Sabri Ahmad (kiri) dan  Dzulkilfli Abd Wahab (tengah) di  Bursa Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.
MOHD Isa melihat pergerakan saham MSM Malaysia Holdings Berhad yang didagangkan sambil diperhatikan Sabri Ahmad (kiri) dan Dzulkilfli Abd Wahab (tengah) di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.
Dagangan sulung melonjak 42 peratus, kaunter paling aktif semalam

HARGA saham MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM Holdings) melonjak sehingga RM1.48 atau 42 peratus kepada RM4.98 sesaham pada hari dagangan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia, sekali gus menjadikannya antara tawaran awam permulaan (IPO) berprestasi terbaik dari segi kenaikan harga dalam tempoh lebih tiga tahun.
Saham sayap perniagaan gula FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd itu dibuka pada RM4.45 seunit pagi semalam, naik 95 sen atau 27.14 peratus berbanding harga rujukan IPO RM3.50 sesaham yang juga adalah harga yang ditawarkan kepada pelabur institusi.
Ia kemudian melonjak ke paras tertinggi harian iaitu RM4.98 menjelang akhir sesi dagangan petang dan kekal tinggi sebelum ditutup pada RM4.89 sesaham, naik RM1.39 atau 39.71 peratus.

MSM Holdings juga menjadi kaunter paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia semalam dengan sejumlah 101 juta saham bernilai RM464 juta diurusniagakan, justeru menjadikan ia sebagai peneraju pasaran.

Peniaga berkata, premium IPO melebihi RM1 pada hari pertama dagangan adalah sesuatu yang sukar disaksikan sejak kebelakangan ini dan kali terakhir lonjakan besar jumlah premium adalah ketika penyenaraian semula Sime Darby Bhd pada November 2007 yang meningkat RM2.10 sesaham serta Deleum Bhd pada Jun 2007 dengan kenaikan RM1.43 seunit.

Sementara itu, Pengerusi MSM Holdings, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang mengulas perkembangan itu berkata, pihaknya sangat gembira dengan sambutan hangat yang diberikan pelabur terhadap saham syarikat itu.
Beliau berkata ia adalah satu permulaan yang baik dan ia menunjukkan pelabur sangat yakin dengan prospek syarikat itu.

“Ini satu permulaan baik. Kita harap ia akan terus bertahan bukan setakat hari ini saja tetapi untuk seterusnya,” katanya kepada media selepas majlis penyenaraian sulung syarikat itu di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah FELDA, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab; Presiden Kumpulan dan Ketua Eksekutif FELDA Global Group, Datuk Sabri Ahmad serta Presiden dan Ketua Eksekutif MSM Holdings, Chua Say Sin.

Mohd Isa yang juga Pengerusi FELDA berkata, pihaknya akan menguruskan perniagaan itu sebaik mungkin bagi memastikan saham syarikat itu sentiasa mendapat perhatian pelabur.

IPO MSM Holdings di Bursa Malaysia membabitkan 255.64 juta saham biasa dengan 21.09 juta saham diperuntukkan kepada pelabur institusi.

Penyenaraian itu menjana mo-dal RM796 juta menerusi jualan 227.53 juta saham kepada pelabur institusi tempatan dan antarabangsa dan RM95 juta daripada penjualan 28.12 juta saham kepada pelabur runcit.

Berdasarkan harga tawaran RM3.50 seunit kepada pelabur institusi, modal pasaran MSM Holdings mencecah RM2.46 bilion ketika penyenaraian.

Mengenai rancangan FELDA selepas menyenaraikan MSM Holdings, Mohd Isa berkata, ia bergantung kepada masa dan strategi tertentu serta arahan daripada
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang turut bertanggungjawab terhadap FELDA.

Beliau berkata FELDA sentiasa bersedia ke arah itu dan pihaknya melihat beberapa syarikat miliknya mempunyai potensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Selain itu, Mohd Isa berkata FELDA juga menerima ratusan cadangan perniagaan daripada pihak luar.

"Bagi biomass saja, kami menerima lebih 50 cadangan," kata beliau.

Bagaimanapun, katanya, FELDA akan mengkaji terlebih dulu sebelum membuat keputusan untuk meneroka bidang perniagaan baru itu.

Mohd Isa berkata, FELDA juga mendapat tawaran untuk membangunkan ribuan hektar tanah di luar negara seperti Papua New Guinea, Kemboja, Myanmar, Surinam, Sierra Leone dan Indonesia.

Beliau berkata pihaknya ketika ini di peringkat akhir kajian untuk memperoleh tanah kira-kira 20,000 hektar di Myanmar.

Katanya, FELDA kini mempunyai 853,000 tanah di Malaysia.

Tuesday, June 28, 2011

Berita Harian Online

Bisnes Dunia: Saham tempatan cetus minat pelabur asing
Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2011/06/28

Pembelian bersih minggu lalu lepasi paras RM1 bilion

PASARAN saham Malaysia terus mendapat perhatian pelabur asing apabila kumpulan dana kumpulan berkenaan terus menguasai urus niaga minggu lalu di sebalik berlaku aliran keluar dana asing dikesan di beberapa pasaran utama serantau.
Di pasaran tempatan, pelabur asing kekal menjadi pembeli bersih minggu lalu, sekali gus menjadi pembeli bersih pasaran ekuiti tempatan buat kali ke-11 dalam tempoh 14 minggu lalu.
MIDF Research, dalam nota penyelidikannya berkata, pelabur asing bertukar menjadi lebih agresif dalam pasaran tempatan minggu lalu.

Katanya, pembelian saham bersih di kalangan pelabur asing minggu lalu adalah antara yang tertinggi tahun ini, melebihi paras RM1 bilion untuk mencecah RM1.05 bilion, hampir dua kali ganda daripada minggu sebelumnya.

“Pada tempoh puncak, pembelian bersih saham di kalangan pelabur asing mencecah RM1.2 bilion,” katanya.

MIDF Research berkata, pembelian kasar saham di kalangan pelabur asing minggu lalu bernilai RM2.8 bilion, apabila berlaku lonjakan penyertaan pada Jumaat dengan dagangan kasar yang melebihi RM1 bilion.
Firma penyelidikan itu menambah, pelabur runcit dan institusi pula terus menjadi penjual bersih minggu lalu dengan pelabur institusi menjual saham bernilai RM3.7 bilion tahun lalu, berbanding antara RM4 bilion hingga RM5 bilion pada Mac dan April lalu.

Menuju ke minggu terakhir Jun, MIDF Research berkata, akan berlaku kegiatan ‘menghias akaun’ dalam pasaran saham tempatan minggu ini.

“Bagaimanapun, kami mengekalkan pandangan skeptikal untuk menyaksikan buruan berterusan ke atas paras 1,577 mata minggu ini. Indeks FBM KLCI dijangka kekal mendatar minggu ini,” katanya.

Indeks FBM KLCI meraih peningkatan 0.4 peratus pada Jumaat lalu dan meneruskan arah aliran peningkatannya.

Pada 1,565 mata, indeks itu semakin menghampiri paras tertinggi 1,577 mata dan ia perlu menokok 12 mata atau 0.8 peratus lagi untuk mencabar paras tertinggi sebelumnya.

Walau begitu, katanya, berdasarkan kadar kenaikan semasa indeks dalam tempoh enam minggu lalu, ia dilihat sesuatu yang agak sukar untuk dicapai.

MIDF Research berkata, petunjuk utama untuk minggu ini adalah tekanan penurunan berterusan ke atas harga minyak mentah.

“Kami menjangkakan ia adalah fenomena jangka pendek, namun ia memberi kesan untuk mengheret turun pasaran saham.

“Harga minyak mentah WTI jatuh di bawah purata harian 100 hari minggu lalu. Ia bukan satu petunjuk yang baik,” katanya.

Berita Harian Online

Aeroangkasa tarik pelaburan RM1b
Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@bharian.com.my
2011/06/28

MUSTAPA (kiri) bersama Bashir (tengah) dan Pengarah Operasi Eurocopter Malaysia, Benoit Marcoux ketika melawat Eurocopter Malaysia di LTSAAS, Subang, semalam.
MUSTAPA (kiri) bersama Bashir (tengah) dan Pengarah Operasi Eurocopter Malaysia, Benoit Marcoux ketika melawat Eurocopter Malaysia di LTSAAS, Subang, semalam.
Pelbagai agensi giat promosi Malaysia pikat pelabur asing

INDUSTRI aeroangkasa mampu menarik pelaburan mencecah RM1 bilion pada tahun ini dan bakal menjadi antara bidang penting untuk tempoh akan datang, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pihaknya kini giat menjalankan promosi mengenai Pusat Aeroangkasa Antarabangsa Malaysia (MIAC).
Beliau berkata, kini MAS Engineering & Maintenance, syarikat milik Penerbangan Malaysia (MAS) adalah syarikat kelima terbesar dunia dalam bidang MRO.

Susulan itu, katanya, ia berpotensi besar untuk terus berkembang dan memberikan manfaat kepada generasi muda.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan saling bekerjasama rapat dengan MITI untuk mempromosi Malaysia sebagai hab industri aeroangkasa.

“Oleh itu, kami percaya mampu menarik pelaburan lebih RM1 bilion untuk sepanjang tahun ini dengan setakat April lalu menerima pelaburan bernilai RM41.8 bilion,” katanya selepas mendengar taklimat mengenai MIAC daripada MAHB di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid dan Pengarah Kanan MIDA, Azman Mahmud.

MIAC membabitkan kawasan seluas 480 hektar di LTSAAS menawarkan empat bidang perkhidmatan seperti pengeluaran komponen dan alat ganti, MRO, sistem sepadu dan avionik serta pusat kecemerlangan untuk latihan aeroangkasa.

Sementara itu, Bashir berkata, industri aeroangkasa adalah bidang berteknologi tinggi dengan potensi menarik pelaburan besar.

Katanya, rantau Asia Pasifik juga menunjukkan pertumbuhan besar dari segi pembelian pesawat untuk tempoh 10 tahun akan datang, justeru memberikan peluang untuk MAHB menyediakan kemudahan MRO di negara ini.