Elak keciciran pelajar Bumiputera
by Agnes Tugong. Posted on June 17, 2011, Friday

CEMERLANG: Fatimah (dua kiri) menyampaikan anugerah biasiswa kepada salah seorang lepasan pelajar yang cemerlang sambil disaksikan Pengarah Sumber Manusia Shell Malaysia yang juga pengerusi penganjur, Leslie Hayward (dua kanan).
KUCHING: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta mempertimbangkan rayuan permohonan biasiswa daripada pelajar berstatus Bumiputera bagi mengelak daripada berlakunya keciciran.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata pihaknya menerima beberapa kes melibatkan pelajar cemerlang SPM yang tercicir daripada menerima biasiswa JPA.
Kes-kes tersebut katanya, telah dikemukakan dan diberi sokongan, bagaimanapun tidak diketahui sama ada berjaya atau tidak daripada segi rayuan, tetapi itu adalah antara usaha yang telah dijalankan.
“Kita tidak mempunyai statistik pelajar yang tercicir tetapi ada beberapa kes rayuan misalnya untuk biasiswa JPA dan penempatan di matrikulasi membabitkan status Bumiputera dan bukan Bumiputera.
“Justeru, adalah menjadi harapan kita agar JPA mempertimbangkan kes seperti ini terutama membabitkan pelajar berstatus Bumiputera dari negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Shell 2011 di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Jelasnya, jika dilihat keputusan kabinet dahulu khususnya untuk pelajar-pelajar Sarawak khasnya status Bumiputera, jelas bahawa ia boleh diselesaikan secara pentadbiran.
Maknanya, sekiranya salah seorang daripada ibu bapa pelajar berkenaan adalah Bumiputera maka statusnya daripada segi kuota untuk kemasukan adalah kuota Bumiputera.
“Cuma kita rasa terkilan, selepas kes Marina Undau dahulu, ia berulang dan kita berharap kali ini adalah yang terakhir dan tidak akan berulang lagi,” katanya.
Mengulas mengenai anugerah tersebut, Fatimah berkata, ia dilihat sebagai satu inisiatif yang baik oleh Shell Malaysia bagi menampung biasiswa JPA yang ditawarkan kepada pelajar di negeri ini.
Katanya, bilangan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang semakin bertambah dan jika diikut daripada segi jumlah biasiswa yang diberikan ia adalah terhad.
Dengan adanya usaha seperti ini oleh pihak Shell melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR), secara langsung membantu lebih ramai pelajar membina upaya daripada segi pendidikan di dalam dan luar negara.
No comments:
Post a Comment