Pembangunan sukan di Bintulu diberikan sokongan berterusan
Posted on June 26, 2011, Sunday
BINTULU: Jabatan Belia dan Sukan akan terus memberi sokongan penuh terhadap apa jua aktiviti sukan bagi merancakkan lagi pembangunan sukan di bahagian ini.Ketua Pejabat Belia dan Sukan Bintulu, Nur Nafhatun Ahmad Masut berkata penyertaan masyarakat dalam apa jua aktiviti sukan yang dianjurkan bukan sahaja akan mampu membentuk masyarakat sihat dan berjaya bahkan memupuk hubungan persaudaraan yang lebih erat.
“Usaha Kementerian Belia dan Sukan adalah untuk memupuk budaya hidup sihat di kalangan masyarakat di peringkat akar umbi, justeru pertandingan sukan seumpamanya amat baik dan disokong,” ujarnya semasa merasmikan Liga Sukan Untuk Semua Peringkat Bahagian Bintulu di Taman Sri Pelabuhan Sungai Sepait semalam.
Katanya, akiviti sukan yang dianjurkan juga bukan semata-mata untuk bertanding tetapi usaha berterusan pihak jabatan agar masyarakat menceburi bidang sukan.
Beliau turut memuji kerjasama baik yang ditunjukkan oleh masyarakat setempat khususnya penduduk di Taman Sri Pelabuhan yang menyertai liga sukan yang julung kali diadakan di taman perumahan tersebut.
Terdahulu dua acara sukan dipertandingkan dalam liga sukan itu iaitu pertandingan futsal lelaki dan wanita serta sepak takraw. Sebanyak 10 pasukan lelaki dan sembilan pasukan wanita menyertai acara futsal manakala 19 regu pula menyertai pertandingan sepak takraw.
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi KRT Taman Sri Pelabuhan, Awang Faizol Awang Sallam, Penyelaras Liga Sukan Untuk Semua, Abd Rani Jemi serta penyelaras acara sepak takraw dan futsal, Awangku Nasir Pengiran Kerta dan Mazlan Drahman.
No comments:
Post a Comment