Ahmad Shafie wira baru sukan air
Oleh Nora Mahpar
bhsukan@bharian.com.my
2011/06/19
AHMAD Shafie menjulang trofi Olahragawan SUKMA yang dimenangi.
SUKAN Malaysia (SUKMA) edisi ke-14 melabuhkan tirai Ahad lalu, namun nama Ahmad Shafie Abd Jabar, atlit kenu Johor masih meniti di bibir peminat yang menyaksikan kehebatannya menawan tasik Kompleks Sukan Air, Putrajaya.
Penyertaan kali ketiga itu sangat bermakna buat Ahmad Shafie yang berasal dari Tampoi kerana latihan tiga bulan membuahkan hasil berbanding penyertaannya di SUKMA Melaka tahun lalu yang hanya berjaya membawa pulang sebutir perak dan empat gangsa.
“Saya tujukan anugerah ini khas untuk jurulatih saya, Fajan Satta yang tidak jemu melatih dan menurunkan ilmu untuk melihat saya menjadi yang terbaik dalam sukan ini... tidak dilupakan, ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan padu dan mendoakan kejayaan saya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Berbekalkan pengalaman selama sembilan tahun dalam sukan kenu, anak ketujuh daripada sembilan adik beradik ini disunting menjadi jurulatih oleh Persatuan Kenu Johor untuk melatih atlit yang mewakili Johor ke Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).
“Jika satu hari nanti, kudrat saya sudah tidak diperlukan lagi mungkin saya akan membuka taman rekreasi air yang menawarkan aktiviti sukan berkayak atau kenu... biarlah orang di luar sana pula merasai keseronokan sukan ini,” katanya.
PROFIL
Nama: Ahmad Shafie Abd Jabar
Umur: 20 tahun
Tinggi: 1.65 m
Berat: 64 kilogram
Hobi: Menonton wayang
Tarikh lahir: 4 September 1991
Asal: Tampoi, Johor
Anak: Ketujuh daripada sembilan beradik
Pekerjaan: Jurulatih sementara kenu, Persatuan Kenu Johor
No comments:
Post a Comment