Taman Tasik Perdana lebih ceria
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my
2011/06/29
Dalam fasa pertama, Taman Botani Perdana dilengkapi air terjun menarik di Jalan Tembusu, kolam ikan serta pembinaan laluan papan menggunakan kayu daripada landasan kereta api, fasa kedua pula, sebanyak 1,275 pokok termasuk koleksi dan spesies pokok khas sempena nama negeri dan tempat di Malaysia turut di tanam di situ.
Laman Perdana yang akan menjadi kawasan penanaman pokok khusus kepada pemimpin luar negara yang membuat lawatan rasmi ke negara ini juga akan diwujudkan di taman ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Taman Botani Perdana semalam berkata, taman itu akan menjadi simbol dan landskap penting negara seperti kewujudan taman rekreasi terkenal di luar negara.
Katanya, taman botani atau rekreasi yang indah menjadi satu kemestian dalam landskap sebuah ibu kota seperti Hyde Park dan Kew Gardens di London, Central Park di New York dan The Royal Botanical Gardens di Melbourne.
“Saya percaya dengan adanya Taman Botani Perdana yang baru ini, ia meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke negara ini terutama dari luar negara,” katanya.
Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.
Perdana Menteri dan isteri sebelum itu turut meluangkan masa hampir sejam melawat kawasan sekitar Taman Botani Perdana seperti kawasan ditanam koleksi pokok hutan, koleksi pokok unik, koleksi pokok buah-buahan serta mengambil gambar di air terjun di Jalan Tembusu.
No comments:
Post a Comment