Raja utama skuad dahulu
Oleh Sukhairi Abd Thani
sukhairi@bharian.com.my
2011/06/28
Pengendali Harimau Malaya enggan terlalu fikirkan keupayaan Taiwan PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal mungkin sudah dapat mengagak rentak permainan Taiwan namun dia masih belum mahu meletakkan pemerhatian menerusi video ketika pasukan itu beraksi di Piala Cabaran, Mac lalu sebagai satu rumusan tepat bagi menilai keupayaan pasukan berkenaan.
“Saya sudah memberitahu pemain bagaimana mereka (Taiwan) bermain. Kemungkinan mereka macam kita juga, ada yang menghadapi kecederaan atau pun memasukkan pemain baru dalam pasukan. Walaupun begitu, kita sedikit sebanyak tahu cara mereka bermain.
“Sebagai contoh biarpun baru bermain dengan sesuatu pasukan seperti Lubnan, kita tidak boleh mengagak corak mereka bermain selepas itu kerana setiap kali perlawanan pastinya ada pertukaran corak permainan atau pun strategi. Apa yang penting kita perlu lakukan tugas yang diberi dengan baik nanti,” katanya yang ditemui selepas latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, semalam.
Skuad kebangsaan yang sebelum ini mengalami masalah kecederaan, tampaknya sudah boleh menarik nafas lega apabila beberapa nama seperti Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Fakri Saarani dan Abdul Hadi Yahya semakin beransur pulih.
Bagi Rajagobal, senarai kesebelasan utama diturunkan nanti akan ditentukan selepas latihan akhir, petang ini.
“Untuk perlawanan pertama ini, mana-mana jurulatih pun ingin bermula dengan baik dan menghasilkan kemenangan dan kita mahu mentaliti seperti ini diterapkan dalam pasukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment