LOGO Tigernews

LOGO Tigernews
TIGERNEWS NEWS in THE WORLD

Welcome

SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG TIGERNEWS
PASTIKAN ANDA BERPUAS HATI DENGAN BLOG INI
TIGERNEWS NEWS in THE WORLD SISIPAN BERITA ONLINE

Sunday, June 19, 2011

Berita dari Utusan Borneo Online

Pelaburan domestik perlu untuk capai matlamat negara berpendapatan tinggi

Posted on June 18, 2011, Saturday

KUCHING: Lebih banyak pelaburan domestik diperlukan bagi memastikan matlamat pembentukan negara berpendapatan tinggi dapat dicapai, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurut beliau, harapan untuk menerima pelaburan asing ke dalam negara kini bukan strategi utama kementerian untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan kini menggalakkan pelaburan domestik untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.
“Tahun lepas kita mencatatkan RM29 bilion pelaburan asing dan pada suku pertama tahun ini kita menerima RM11 bilion.
“Meskipun pelaburan asing masih penting, idea asalnya membenarkan pelabur asing datang ke negara kita dan menerima manfaat berikutan kos buruh yang rendah dan subsidi tidak lagi wajar dijadikan strategi utama,” katanya pada majlis makan malam anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuching di sini, malam kelmarin.
Mustapa berkata kerajaan mensasarkan kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan pelaburan dalam sektor pembuatan disumbangkan oleh domestik, berbanding 38.3 peratus tahun lepas.
Sambil memberitahu bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lepas meningkat tujuh peratus, beliau yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang dalam suasana sihat.
“Prospek ekonomi Malaysia adalah baik dan kita memerlukan sektor domestik lebih aktif dan agresif pada tahun ini.
“Dengan lebih banyak pelaburan domestik, kita menjangkakan mampu mencatatkan pertumbuhan enam peratus KDNK setiap tahun mulai sekarang hingga 2020 apabila kita mencapai status negara maju,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kuching mempunyai prospek cerah menjadi pintu masuk bagi aliran bebas barangan dan perkhidmatan antara Malaysia dan Indonesia menerusi Kalimantan Barat, terutamanya di bawah Komuniti Ekonomi Asean.
Katanya, integrasi ekonomi yang rapat pada 2015 akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara kerana Sarawak mempunyai potensi besar dengan sumber tanah yang banyak serta minyak dan gas manakala ekonomi Kalimantan Barat, yang mengeluarkan emas dan minyak sawit sedang berkembang pesat.
“Kita memerlukan jiran yang baik dan makmur untuk menggalakkan lebih banyak pelabur rentas sempadan dari Kalimantan ke Sarawak dan sebaliknya bagi meningkatkan ekonomi rakan-rakan Asean kita,” katanya.
Terdahulu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuching Datuk Wee Kok Tiong berkata pihaknya sentiasa menyokong kerajaan dalam usaha membangunkan ekonomi.
“Kami percaya kerajaan persekutuan akan terus memberi perhatian terhadap keperluan ekonomi Sarawak dan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan projek-projek pembangunan,” katanya.

No comments:

Post a Comment