Pusaka KTS mesra alam
by Ghaz Ghazali. Posted on June 18, 2011, Saturday

MENEPATI PIAWAIAN: Teng (kiri) menerima sijil ISO 14001 EMS daripada Kasvenda (kanan) dalam satu majlis di Bintulu sambil disaksikan oleh Edmund.
BINTULU: Penganugerahan Sijil MS ISO kepada Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd (Pusaka KTS) semalam menandakan pencapaiannya sebagai satu daripada dua sahaja organisasi dalam sektor perhutanan yang telah menerima piawaian sedemikian.
Sijil Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) ISO 14001: 2004 disampaikan kepada syarikat pengurusan hutan tempatan itu di sini oleh Sirim QAS International Sdn Bhd (Sirim) dalam satu majlis yang diadakan di Kakus Kem C Pustaka KTS, kira-kira tiga jam pemanduan dari sini semalam.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Pusaka KTS Teresa Tang berkata, selama ini isu alam sekitar telah menjadi isu antarabangsa yang menarik minat kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, aktivis alam sekitar dan rakyat jelata.
“Kesedaran mengenai alam sekitar telah dibangkitkan di banyak tempat di dunia, maka itu kami menyedari kepentingannya dan keperluan bagi kami untuk memainkan peranan.
“Justeru, idea untuk mendapatkan pensijilan ISO 14001 EMS merupakan salah satu keputusan terbaik yang telah dibuat oleh pengurusan tertinggi Pusaka KTS,” tegasnya.
EMS yang memenuhi syarat ISO 14001:2004 merupakan satu alat pengurusan yang membolehkan organisasi tanpa mengira saiz atau jenis untuk mengenal pasti dan mengawal impak daripada aktiviti, produk atau perkhidmatannya kepada alam sekitar, selain meningkatkan prestasinya berhubung alam sekitar secara berterusan.
Ia juga bertujuan melaksanakan pendekatan yang sistematik untuk menetapkan sasaran dan matlamat berhubung alam sekitar, seterusnya mencapai sasaran dan matlamat yang ditetapkan itu dan membuktikan bahawa ia sudah dicapai.
Bagi Pusaka KTS, pensijilan EMS dicapai di bawah skop ‘Operasi Penanaman Pokok Akasia, Pokok Kayu Putih, Pokok Getah dan Spesies Asal Lain’.
Mewakili SIRIM ketika menyerahkan sijil, wakil cawangan badan piawaian itu di Sabah dan Sarawak, Kasvenda Kassim yang menggariskan keperluan bagi syarikat dalam mana-mana industri untuk mendapatkan pensijilan ISO EMS.
“Walaupun ia bukan satu tuntutan undang-undang bagi sesebuah syarikat untuk mendapatkan pensijilan bebas bagi EMS, ia boleh membawa banyak faedah.
“Banyak organisasi mendapati semakin ramai pelanggan mereka yang mahu melihat bukti bahawa pembekal mereka memandang berat tentang tanggungjawab mereka kepada alam sekitar,” tambahnya.
Kasvenda menambah, dengan akreditasi ISO 14001 EMS, ia boleh juga membawa kepada faedah lain seperti pengurangan kos dalam pengurusan sisa, penjimatan dalam kepenggunaan tenaga dan bahan, kos pengedaran lebih rendah serta peningkatan dalam imej korporat di kalangan badan pengawal, pelanggan dan orang ramai.
Pendapat ini turut dirangsang oleh Organisasi Piawaian Antarabangsa (ISO) yang mendapati jumlah organisasi yang mendapat pensijilan piawaian EMS telah meningkat.
“Berdasarkan penemuan dalam tinjauan tahunan mengenai pensijilan piawaian yang dijalankan oleh ISO, sekurang-kurangnya 223,149 sijil ISO 14001 sudah dikeluarkan di 159 negara dan ekonomi, termasuk Malaysia, sehingga akhir Disember 2009,” ujar Kasvenda.
“Jumlah ini merupakan satu peningkatan sebanyak 34,334 atau 18 peratus daripada jumlah keseluruhan pada akhir Disember 2008,” katanya.
Sementara itu, Teng menegaskan bahawa Pusaka KTS akan terus mengukuhkan komitmen untuk menjadi sebuah syarikat perhutanan yang lebih mesra alam melangkaui pensijilan ISO 14001 EMS.
“Sasaran kami seterusnya adalah Indikator dan Kriteria Malaysia bagi Pensijilan Pengurusan Hutan (Ladang Hutan) atau MC&I.
“Saya percaya pensijilan ISO 14001 EMS ini sudah meletakkan asas yang kukuh bagi kami untuk terus maju dan memperolehi lebih banyak pencapaian pada masa depan,” katanya.
Selain Teng dan Kasvenda, turut hadir bagi penganugerahan sijil ISO EMS itu di sini adalah Penolong Pengurus Besar bagi Pembangunan Sumber Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak Edmund Daging Mangku
No comments:
Post a Comment